Khamis, 17 Mei 2012

AKU BUKAN OKB, AKU DIZALIMI...

Pada 5 Mac 2012, alhamdulillah Allah kurniakan kemenangan dalam kes melawan Kerajaan Negeri Terengganu dan Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Terengganu, kerana menamatkan perkhidmatanku dari jawatan Pegawai Tadbir Negeri Terengganu 5 tahun yang lalu(2007). 

Ramai sahabat handai, rakan-rakan, kenalan-kenalan yang mengucapkan tahniah walaupun aku tidak memaklumkan kepada mereka kerana kes aku dapat liputan Sinar Harian, Buletinonline dan Harakahdaily. Bahkan kelihatan pada hari keputusan, Krew TV7 pun ada sama. Aku sangat berterima kasih kepada semua yang mengenali diri ini kerana dengan doa kalian semua aku menang kes ini. Tidak lupa juga yang paling penting doa ibuku. 

Di awal hari-hari kemenangan, tak kurang sahabat handai yang bertemu membahasakan diriku dengan OKB. Aku hanya menjawab tunggu benar-benar dapat (wang) baru boleh panggil. Tak kurang juga bertanya bila lagi aku akan buat kenduri kesyukuran. Bila lagi aku mahu perebah seekor lembu. Aku tidak berani janji banyak. Tetapi dalam hatiku sudah merancang semua itu sebagai tanda kesyukuran kepadaNya Yang Maha Pemurah kepada hamba yang lemah ini. Aku juga bercadang mahu menunaikan ibadah umrah bersama ibuku yang tidak pernah merasai ibadah umrah mahupun haji. Itupun kalau ada baki wang setelah semua hutang ku tolak. Aku tidak tahu berapa yang akan dibayar kerana belum dikira. Banyakkah permintaanku? Aku kira itu sudah cukup banyak berbanding Amal Islami ku yang barangkali hanya sedikit di sisi Allah disumbangkan untuk perjuangan Islam.

Dalam benakku, dengan kemenangan ini, dapatlah kiranya aku lunaskan segala hutang piutangku sepanjang dipecat. Dalam doaku, aku tidak minta banyak. Cuma mahu hidup bebas hutang dan terus menjadi 'fulltime muslim'. Aku tidak minta jadi ahli politik, aku tidak minta jadi wakil rakyat, aku tidak minta jadi jutawan. Aku bersyukur jadi KeluargaWan. 

Bak kata pepatah, ku sangkakan panas berpanjangan, rupanya hujan di tengah hari. Tidak sempat pun aku menjejakkan kaki ke Wisma Darul Iman, pada 29 Mac 2012, Kerajaan Negeri Terengganu melalui Penasihat Undang-undangnya telah menghantar surat kepada Mahkamah Tinggi dan salinannya kepada peguamku permohonan penggantungan keputusan penghakiman kes aku, bersama satu Afidavit sokongan. 

Ku kira setakat ini dahulu coretan sekadar memaklumkan kepada ramai sahabat handai dan kenalan alam maya yang belum tahu bahawa AKU BUKAN OKB; AKU DIZALIMI. 

Sekian, wassalam.