Belajar dari alam sekitar
Bilakah agaknya waktu paling sesuai mendidik anak mengenai alam semula jadi? Darjah Satu? Tadika? Jawapannya - jauh lebih awal dari itu. Pendidikan alam semula jadi berasaskan pengalaman diri memainkan peranan utama dalam pembentukan sikap, nilai dan bakal mencorak kelakuan seumur hidup terhadap alam sekitar.
Ketua Jabatan Pendidikan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), I.S. Shanmugaraj berkata, memandangkan kanak-kanak belajar mengenai alam semula jadi melalui interaksi, maka pendidik dan penjaga perlu menitikberatkan kekerapan serta mutu interaksi kanak-kanak dengan alam semula jadi di awal usianya lagi.
“Ramai kanak-kanak kurang berpeluang mendapat pengalaman sedemikian. Malah, terlalu ramai si kecil tinggal dalam suasana tersisih dari alam semula jadi,” katanya.
Aktiviti lapang mereka biasanya menonton televisyen di rumah, tidak berjalan sebaliknya berkereta atau motosikal ke sana sini dan bila di taska, mereka lebih kerap berada dalam bilik darjah berbanding dengan di luar.
“Akibatnya ramai kanak-kanak berisiko terbantut pertumbuhan sikap serta perasaan positif terhadap alam sekitar atau gagal mencapai kefahaman yang dianggap sihat mengenai alam semula jadi. Tumpuan awal semasa zaman kanak-kanak pada pendidikan alam sekitar sedikit sebanyak menjadi penawar kepada masalah tersebut.”
Langkah pertama, mulakan dengan yang mudah. Si kecil lebih mudah menerima belajar sesuatu yang telah dikenalinya atau kebiasaannya. Contohnya, pokok yang tumbuh di belakang rumah atau taman permainan berdekatan didahulukan sebelum menjelajah lebih jauh.
Bersama Meninjau Alam Sekitar
1. Tanamlah bunga, pokok, rumput, buah atau sayur untuk mendidik anak mengenai pembesaran tumbuhan. Bercucuk-tanam juga memberi pengajaran mengenai cuaca serta peranan tanah, air dan cahaya dalam kehidupan.
2. ‘Pemburu’ serangga. Berbekal balang atau botol jem, galakan si kecil mencari kumbang. Intailah di celahan pokok, bunga dan di bawah tunggul (jangan lupa, kembalikan semula segala yang dibalikkannya). Sentuhlah sang kumbang dengan lembut dan lepaskan semula setelah menyentuhnya.
3. Memerhati alam sekitar dan permainan kordinasi mata-ke-otak. Sebelum ke taman bunga, buatlah ‘teropong’ bersama anak anda menggunakan kadbod gulungan tisu dan hiaskan. Bawa Si Manja keluar meninjau sekitaran mencari objek semula jadi.
4. Dapatkan perspektif baru. Suruh anak berbaring di bawah pohon rendang. Arahkan mereka melihat dahannya. Nampakkah mereka ranting yang tertinggi? Corak apa yang kelihatan? Apa lagi yang ada? Si kecil boleh berolok-olok menjadi akar pokok. Apa rasanya?
5. Gunakan imaginasi. Pilih kawasan tanah berlitup dedaun, rumput dan sebagainya, persilakan si kecil duduk. Beri dia enam batang penyedut minuman atau lidi pengumpil gigi. Berolok-oloklah bersama menjadi semut. Tugas utama anak anda ialah menjadi ‘pemandu pelancong’ kepada semut dengan memilih enam perkara menarik mengenai kawasan laluan berjarak semeter.
6. Buru warna alam. Dapatkan 10 contoh warna berasaskan alam semula jadi dari kedai cat. Berbekal contoh tersebut bawa anak ke taman dan suruh Si Kecil mencari warna tersebut di sekitarnya satu persatu.
7. Tinjauan malam. Tuju sebuah kawasan semula jadi yang selamat di waktu malam. Salut lampu picit dengan plastik berwarna merah supaya ia tidak mengejutkan haiwan yang berkeliaran. Cubalah idea yang terdahulu dari ini untuk mengenal haiwan dan tumbuhan malam.
8. Nikmat hari hujan. Pakai baju hujan (elakkan payung) dan pergi berhujan dengan anak anda. Tinjau lecak, pantau kicau burung dan bunyi katak bersahut. Berapa jenis titisan hujan yang ada agaknya? Nampak daun berhujung tirus menitis air? Selidiki ke mana haiwan lari semasa hujan.
Merangsang Selera Belajar
Si kecil belajar melalui penerokaan sekitaran mulai saat kelahiran mereka, tanpa tandingan, ternyata alam sekitar adalah teman pembelajaran terbaik mereka. Melalui penglihatan, otak segar mereka cepat memproses, mengenal dan memahami persekitaran.
Koordinasi mata-ke-otak ialah kebolehan otak memproses maklumat yang dikumpulkan melalui penglihatan. Oleh itu, pemakanan yang baik di peringkat awal memainkan peranan penting dalam perkembangan koordinasi mata-ke-otak yang lebih baik.
Untuk menjana kebolehan serta minat yang berkembang, kanak-kanak memerlukan banyak asid lemak yang diperolehi melalui susu dan beberapa jenis makanan. Zat makanan seperti asid dokosaheksanoik (DHA), asid arakidonik (AA), Kolina dan Taurina penting bagi membantu perkembangan otak dan penglihatan.
Kombinasi sokongan in bersama adunan unik minyak sayuran yang membantu penyerapan kalsium dan lemak boleh diperoleh melalui susu bersistem Eye-Q Nutrition.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan