Isnin, 24 Disember 2012

SIFAT MUNAFIQ DALAM AYAT 49 HINGGA 59 AT TAUBAH



TERJEMAHAN AYAT:
 
49. dan di antara mereka (yang munafik itu) ada Yang berkata: "Izinkanlah Aku (supaya tidak pergi berperang) dan janganlah Engkau menjadikan daku dipengaruhi oleh fitnah ". ketahuilah, mereka telah pun tercebur ke Dalam fitnah (dengan dalihan Yang dusta itu). dan Sesungguhnya azab jahannam meliputi orang-orang Yang kafir.
50. jika Engkau (Wahai Muhammad) beroleh sesuatu kebaikan, (maka) kebaikan itu menyebabkan mereka sakit hati; dan jika Engkau ditimpa sesuatu bencana, mereka berkata: "Sesungguhnya Kami telahpun mengambil keputusan (tidak turut berperang) sebelum itu", dan mereka berpaling (meninggalkanmu) sambil mereka bergembira.
51. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Tidak sekali-kali akan menimpa Kami sesuatu pun melainkan apa Yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung Yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang Yang beriman bertawakal".
52. katakanlah: "(Sebenarnya) tidak ada Yang kamu tunggu-tunggu untuk Kami melainkan salah satu dari dua perkara Yang sebaik-baiknya (iaitu kemenangan atau mati syahid); dan Kami menunggu-nunggu pula untuk kamu Bahawa Allah akan menimpakan kamu Dengan azab dari sisiNya, atau Dengan perantaraan tangan kami. oleh itu tunggulah, Sesungguhnya Kami juga menunggu bersama-sama kamu".
53. katakanlah: "Dermakanlah harta kamu sama ada Dengan sukarela atau kerana terpaksa, tidak sekali-kali akan diterima daripada kamu, (kerana) Sesungguhnya kamu adalah orang-orang Yang fasik".
54. dan tidak ada Yang menghalangi mereka, untuk diterima derma-derma mereka melainkan kerana mereka kufur kepada Allah dan RasulNya, dan (kerana) mereka tidak mengerjakan sembahyang melainkan Dengan keadaan malas dan mereka pula tidak mendermakan hartanya melainkan Dengan perasaan benci.
55. oleh itu, janganlah Engkau tertarik hati kepada harta benda dan anak-anak mereka, (kerana) Sesungguhnya Allah hanya hendak menyeksa mereka Dengan harta benda dan anak-anak itu Dalam kehidupan dunia, dan hendak menjadikan nyawa mereka tercabut sedang mereka berkeadaan kafir (untuk mendapat azab akhirat pula).
56. dan mereka (yang munafik itu) bersumpah Dengan nama Allah Bahawa Sesungguhnya mereka dari golongan kamu, padahal mereka bukanlah dari golongan kamu, tetapi mereka ialah suatu kaum Yang pengecut.
57. kalau mereka dapat tempat perlindungan, atau gua-gua, atau lubang-lubang Dalam tanah, nescaya mereka segera menuju ke arahnya serta melompat masuk ke dalamnya.
58. dan di antara mereka ada Yang mencelamu (Wahai Muhammad) mengenai (pembahagian) sedekah-sedekah (zakat); oleh itu jika mereka diberikan sebahagian daripadanya (menurut kehendak mereka), mereka suka (dan memandangnya adil); dan jika mereka tidak diberikan dari zakat itu (menurut kehendaknya), (maka) Dengan serta merta mereka marah.
59. dan (amatlah baiknya) kalau mereka berpuas hati Dengan apa Yang diberikan oleh Allah dan RasulNya kepada mereka, sambil mereka berkata: "Cukuplah Allah bagi kami; Allah akan memberi kepada Kami dari limpah kurniaNya, demikian juga RasulNya; Sesungguhnya Kami sentiasa berharap kepada Allah"

LATAR BELAKANG
Ayat 49 hingga 59 merupakan lanjutan daripada ayat-ayat sebelumnya yang membicarakan kisah perang Tabuk.
Dalam ayat-ayat ini menceritakan bagaimana sikap dan tindakan orang-orang munafiq terhadap seruan infaq harta benda dan keluar berjihad di jalan Allah.

INTIPATI & IKTIBAR AYAT
1.       Ayat ini membuka pekung sang munafiq di kalangan pejuang-pejuang kebenaran, sekaligus menghiburkan hati orang-orang beriman.
2.       Di antara perangai orang munafiq ialah sentiasa mencari alasan untuk tidak keluar berperang(ayat 49
3.       Orang-orang munafiq suka sebarkan berita bohong tentang orang-orang beriman yang sedang berjuang.
4.       Sikap orang-orang beriman ialah apabila mereka dikurniakan nikmat, mereka bersyukur. Apabila ditimpa mudharat, mereka pun bersabar dan mengharapkan pahala atas ujian itu(ayat 50).
5.       Penghabisan usia seseorang adalah kematian. Jadikanlah hujung perjalanan hidup kita di jalan Allah kerana di sebalik kematian itu ada syurga dan kehidupan kekal abadi(ayat 51).
6.       Orang beriman sentiasa menantikan salah satu daripada dua kebaikan: sama ada menang dengan pertolongan Allah; ataupun mati syahid di jalanNya(ayat 52).
7.       Orang munafiq juga mengeluarkan infaq pada jalan Allah tetapi dalam keadaan terpaksa dan benci di dalam hati (ayat  53).
8.       Orang munafiq juga suka bersumpah dengan sumpah yang palsu, mengaku mereka orang beriman yang benar-benar ikhlas.
9.       Orang munafiq juga suka mengambil kesempatan untuk mencela pimpinan kaum muslimin dengan pembohongan mereka(ayat 58).
10.    Orang munafiq suka melontar kritikan negatif dan tidak membina. Sekiranya benar-benar berlaku sesuatu yang dikritik itu, maka mereka gembira dan merasa puashati. Sekiranya terbukti kritikan mereka salah, mereka akan marah secara tiba-tiba.

Khamis, 17 Mei 2012

AKU BUKAN OKB, AKU DIZALIMI...

Pada 5 Mac 2012, alhamdulillah Allah kurniakan kemenangan dalam kes melawan Kerajaan Negeri Terengganu dan Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Terengganu, kerana menamatkan perkhidmatanku dari jawatan Pegawai Tadbir Negeri Terengganu 5 tahun yang lalu(2007). 

Ramai sahabat handai, rakan-rakan, kenalan-kenalan yang mengucapkan tahniah walaupun aku tidak memaklumkan kepada mereka kerana kes aku dapat liputan Sinar Harian, Buletinonline dan Harakahdaily. Bahkan kelihatan pada hari keputusan, Krew TV7 pun ada sama. Aku sangat berterima kasih kepada semua yang mengenali diri ini kerana dengan doa kalian semua aku menang kes ini. Tidak lupa juga yang paling penting doa ibuku. 

Di awal hari-hari kemenangan, tak kurang sahabat handai yang bertemu membahasakan diriku dengan OKB. Aku hanya menjawab tunggu benar-benar dapat (wang) baru boleh panggil. Tak kurang juga bertanya bila lagi aku akan buat kenduri kesyukuran. Bila lagi aku mahu perebah seekor lembu. Aku tidak berani janji banyak. Tetapi dalam hatiku sudah merancang semua itu sebagai tanda kesyukuran kepadaNya Yang Maha Pemurah kepada hamba yang lemah ini. Aku juga bercadang mahu menunaikan ibadah umrah bersama ibuku yang tidak pernah merasai ibadah umrah mahupun haji. Itupun kalau ada baki wang setelah semua hutang ku tolak. Aku tidak tahu berapa yang akan dibayar kerana belum dikira. Banyakkah permintaanku? Aku kira itu sudah cukup banyak berbanding Amal Islami ku yang barangkali hanya sedikit di sisi Allah disumbangkan untuk perjuangan Islam.

Dalam benakku, dengan kemenangan ini, dapatlah kiranya aku lunaskan segala hutang piutangku sepanjang dipecat. Dalam doaku, aku tidak minta banyak. Cuma mahu hidup bebas hutang dan terus menjadi 'fulltime muslim'. Aku tidak minta jadi ahli politik, aku tidak minta jadi wakil rakyat, aku tidak minta jadi jutawan. Aku bersyukur jadi KeluargaWan. 

Bak kata pepatah, ku sangkakan panas berpanjangan, rupanya hujan di tengah hari. Tidak sempat pun aku menjejakkan kaki ke Wisma Darul Iman, pada 29 Mac 2012, Kerajaan Negeri Terengganu melalui Penasihat Undang-undangnya telah menghantar surat kepada Mahkamah Tinggi dan salinannya kepada peguamku permohonan penggantungan keputusan penghakiman kes aku, bersama satu Afidavit sokongan. 

Ku kira setakat ini dahulu coretan sekadar memaklumkan kepada ramai sahabat handai dan kenalan alam maya yang belum tahu bahawa AKU BUKAN OKB; AKU DIZALIMI. 

Sekian, wassalam.