Rabu, 10 Disember 2008

ERTI PENGORBANAN

Raya Haji berakhir hari ini(Khamis). Takbir tidak akan dilaungkan lagi selepas dari Maghrib hari ini. Selama 4 hari berlalunya Aidil Adha, adakah kita menghayati erti pengorbanan yang sebenar? Pengorbanan sangat luas skopnya. Seluruh kehidupan kita merupakan suatu pengorbanan. Cuma yang membezakannya aialah kecil atau besar, dan cara pengorbanan itu berlaku. Adakah pngorbanan itu keranaNya yang satu? Atau kerana yang lainnya.

Sejarah korban dalam Islam mengajar kita bagaimana sepatutnya kita iktiqadkan pengorbanan yang kita laksanakan. Kisah Habil dan Qabil, begitu juga Nabi Ibrahim alaihissalam yang diarah menyembelih anaknya Ismail alaihissalam mempunyai suatu petunjuk yang amat jelas iaitu Pengorbanan hendaklah ditujukan buat Allah azza wajalla. KeranaNya, tidak kerana yang lain. Ia mengajar kita mengikhlaskan hati semata-mata keranaNya. Tidak kira ikhlas itu sama ada martabat ibadah hamba, ibadah saudagar, mahu pun ibadah orang yang bersyukur. Dalam konteks Aidil Adha kali ini, biarlah ianya naik ke martabat tertinggi iaitu pengorbanan kerana kita bersyukur ke hadrat Ilahi.

Seorang anak patut merealisasikan pengorbanan terhadap kedua ibubapanya. Tetapi yang berlaku adalah sebaliknya. Memang kebiasaannya ibubapa melakukan pengorbanan buat anak-anaknya. Pengorbanan dari sudut kewangan, harta benda dan perasaan. Anak-anak sukar memahami ini semua. Kekadang mereka mahu agar ibubapa menuruti kehendak mereka. Mahu itu dan ini, minta itu dan ini, tanpa mengira kemampuan ibubapa. Lihatlah kisah gadis belasan tahun yang mengikuti teman lelakinya ke Lombok, kemudiannya berkahwin di sana. Dia sanggup meninggalkan ibubapanya di Malaysia. Ini merupakan suatu pengorbanan. Bagaimana? Si gadis sanggup mengorbankan ketaatannya kepada kedua ibubapa demi cintanya terhadap si lelaki indonesia itu. Bukankah syurga itu di bawah telapak kaki ibunya? Sanggup dia mengorbankan 'syurga'nya demi sebuah cinta. Ada juga yang berpendapat, kenapa pula ibubapanya tidak boleh berkorban untuknya? Ingatlah dalam usia semuda itu, kekadang manusia membuat keputusan tidak berdasarkan kematangan berfikir tetapi lebih kepada hati, perasaan dan hawa nafsu. Hati pula, cukup bersihkah untuk buat keputusan yang diredhai Allah kalau begitulah natijahnya? Salah satu hendaklah dikorbankan dalam memilih keputusan. Tetapi biarlah pengorbanan yang dibuat berbaloi dunia dan akhirat.

Begitu juga kes seorang isteri yang sanggup meninggalkan anak dan suaminya demi sebuah cinta palsu terhadap seorang pengkid. Anaknya yang masih kecil ditnggalkan begitu sahaja. Sehinggalah selepas 3 tahun baharu beliau menyedari kesilapannya. Beliau sebenarnya dipergunakan oleh si pengkid tadi untuk kewangan semata-mata. Habis duit dan barang kemasnya diambil. Cintanya terhadap si pengkid mengorbankan cinta dan tanggungjawabnya terhadap suami dan anaknya.

Dua kes ini merupakan contoh pengorbanan yang tidak kena pada tempatnya. Pengorbanan ini membawa empunya diri ke kancah kezaliman! Maka, biarlah pengorbanan yang dilakukan selari dengan syarak. Biarlah pengorbanan yang dilakukan menjadi saham buat kita ke syurga. Seperti pengorbanan harta benda yang ditunjukkan oleh Abu Bakar, Umar, Uthman dan sahabat-sahabat dalam kempen derma jihad yang diisytiharkan Rasulullah s.a.w. Seperti pengorbanan Khadijah buat suaminya Muhammad s.a.w. Seperti pengorbanan Hanzolah yang meninggalkan isterinya tercinta yang baru dinikahinya untuk ke medan jihad perang....

p/s:Tiada jihad tanpa pengorbanan.

Tiada ulasan: