Selasa, 29 Disember 2009

Berbohong Secara Kompulsif

Apabila anak berbohong secara kerap ia adalah petanda awal masalah yang lebih serius.




KANAK-KANAK berbohong. Inilah satu kenyataan yang perlu dihadapi oleh kebanyakan ibu bapa. Tiada arahan atau galakan diperlukan.

Berbohong seakan sudah sebati dalam jiwa sesetengah kanak-kanak. Memperbesarkan masalah, memutar-belitkan kebenaran, mereka cerita dan menafikan kenyataan adalah antara yang akan dilakukan sewaktu bercakap bohong.

Namun, jika kekerapan seseorang anak berbohong menjadi kompulsif dan tanpa sebab, ibu bapa mungkin perlu 'campur tangan'.

Apabila kitaran penipuan bermula, ia akan menghilangkan kepercayaan orang lain terhadap si anak, sekali gus menyukarkan kitaran tidak sihat ini dihentikan.

Oleh sebab itulah, ibu bapa perlu bertindak meneroka sebab anak berbohong dan perlu mencari jalan penyelesaian untuk memperbaiki tabiat buruk itu.

Mungkin ramai yang tidak tahu berbohong juga adalah petanda awal kepada masalah yang lebih serius.

Berbohong cara kompulsif biasanya dikaitkan dengan penderitaan anak ekoran gangguan masalah sosial pada peringkat awal. Khasnya akibat penyakit Gangguan Hiperaktif dan Kurang Daya Tumpuan (ADHD) dan gangguan perilaku.

Dalam sesetengah kes, tabiat berbohong secara kompulsif turut disertakan dengan masalah kelakuan yang lain. Ini termasuk mencuri, ponteng sekolah, bersikap ganas, agresif dan kemahiran bersosial yang lemah.

Masalah seperti ini biasanya bercambah daripada rasa tidak selesa dalam situasi bersosial, bertindak secara spontan dan tidak menumpukan perhatian.

Apabila berlaku situasi seperti ini, penglibatan pakar-pakar kaunseling misalnya, amat penting untuk membantu kanak-kanak ini. Kaunselor-kaunselor dapat menolong melengkapkan ibu bapa dengan gaya mendidik serta pemahaman terhadap anak yang lebih spesifik.

Mengapa berbohong?

Terdapat beberapa sebab mengapa kanak-kanak bercakap bohong secara kompulsif.

Takut

Perasaan takut adalah pendorong biasa untuk seseorang memberanikan diri berbohong. Takut dimarahi ibu atau takut kebebasan yang diberikan akan dirampas. Ketakutan yang rasional atau tidak juga boleh memberi kesan pembohongan serupa. Sebab apa yang diimpikan oleh anak hanyalah 'perlindungan' sementara daripada hukuman.

Namun, terdapat dua perkara penting di sini. Pertama, anak yang berbohong besar kemungkinannya tahu mereka telah melakukan sesuatu kesalahan. Kedua, ibu bapa perlu menerima pembohongan itu kerana anak sememangnya takut berdepan dengan reaksi mereka.

Tidak hairanlah apabila teriakan bertalu-talu, sikap pemarah dan ibu bapa yang terlalu melindungi anak membuatkan mereka ketakutan. Memberi peluang untuk berkompromi dan mendengar sebelum menyalahkan anak membolehkan komunikasi dua hala berlangsung.

Tabiat

Kata orang, semakin kerap kita mempraktikkan sesuatu, semakin mudahlah ia bertukar menjadi satu tabiat. Begitu juga dengan bercakap bohong. Pembohongan berulang biasanya diperkukuhkan dengan pendekatan yang agresif. Salah satu kaedah paling efektif untuk menyelesaikan pembohongan berkala adalah memberi peluang kepada anak untuk menarik balik kata-kata bohong itu. Ini harus dilakukan tanpa rasa takut akan akibat yang bakal dihadapinya.

Meniru

Sebahagian besar anak 'terpanggil' untuk berbohong setelah melihat orang lain melakukannya. Dilema yang dihadapi oleh ibu bapa adalah mampukah mereka melindungi anak daripada berbohong. Seandainya sukar untuk ibu bapa mengawal anak daripada meniru pembohongan di luar rumah, maka buangkanlah tabiat berbohong anda terlebih dahulu. Lebih berkesan jika mereka tidak meniru tabiat berbohong di rumah dan menjadikannya tabiat.

Perlukah saya menghukum?


PERASAAN takut adalah pendorong biasa untuk seseorang memberanikan diri berbohong.


Terdapat beberapa perkara yang perlu ibu bapa pertimbangkan sebelum menjatuhkan hukuman ke atas kesalahan anak.

1. Hukuman sememangnya direka untuk mengurangkan perilaku yang teruk. Masalahnya, hukuman tanpa kasih sayang dan arahan yang betul adalah sia-sia. Dalam sesetengah situasi, hukuman pula menyumbang kepada tindakan melampau dan penderaan.

2. Menghukum anak atas pembohongan yang berobjektifkan ketakutan atau akibat meniru bukan satu kaedah efektif dalam jangka masa panjang. Sebaliknya, mengenal pasti punca masalah adalah lebih praktikal berbanding berdepan dengan simptom-simptomnya.

3. Hukuman patut dijadikan pilihan terakhir dan bukan dilakukan mengikut emosi. Penggunaan bahasa dan pendekatan yang lebih lembut biasanya lebih berkesan. Beritahu anak dalam nada rendah seperti, "Tahu tak, mak dan ayah rasa kecewa apabila Atan berbohong?"

Yang penting, ketahuilah niat setiap ibu bapa adalah untuk melihat anak bercakap benar. Justeru, gunakanlah pendekatan yang lebih baik agar anak belajar daripada kesilapannya.

.................................

sumber: kosmo online 30 Disember 2009

Ahad, 27 Disember 2009

KOPI TAHI MUSANG?

Nak tahu macam mana proses buat Kopi Tahi Musang? Ha... ni dia. Mula2, pekerja kutip biji kopi di pokok.

Kemudian, kumpul setempat, ramai2 pakat pisahkan/pilih kopi yang baik ke dalam bakul.

Hidangkan buah kopi yang terpilih buat musang tersayang. Buat sarapan, 'dinner' dan makan malam...

Nampaknya tak tahan tu. Terjelir2 lidah...Kecur air liurku...

Bukan seekor sahaja..Bahkan berekor-ekor. Berapa banyak ekor daa....

Emm....sodapnye...tak payah susah2 aku panjat pokok. Buang karan je...

Dah kenyang...Sampai masa apa lagi, buanglah...Ni la tahi aku(kata musang). Bukan main susah lagi nak keluar ni. sembelit...

Aik! Tahi aku pun ngkorang ambil? Ambil lah...Free aje aku bagi. Besok bawak makanan lagi ye..

Apalah diorang nak buat dengan tahi aku....

Biji kopi atau tahi musang yang dibersihkan dijemur.

Ini dia biji2 kopi tahi musang yang terpilih..



Ha ni lah Kopi Tahi Musang atau lebih dikenali dengan 'brand' COFFEE ALAMID=Phillipine Civet Coffee. Ladang Kopinya dari Jawa Timur tapi diproses jadi Kopi termahal di dunia dengan harga $600 satu paun di Filipina. Namanya juga dikenali dengan Kopi Luwak...

Ha,ha,....LAWAK betul la Kopi Luwak ni..Siapa sanggup minum ?

Selasa, 22 Disember 2009

.

Amalan Sunnah Dalan Bulan Muharram:
Pendahuluan:
Definisi bulan Muharram :
Al-Muharram atau bulan al-Muharram ialah bulan pertama dalam tahun Islam. Dinamakan sedemikian kerana orang arab jahiliyyah mengharamkan peperangan dalam bulan tersebut.(Lisan al-Arab, 2/845)
Walaupun orang arab jahiliyyah sesat dan kafir, mereka tetapi mengagungkan semua bulan-bulan ‘haram’. Sehinggakan jika seorang lelaki arab bertemu dengan pembunuh ayahnya di bulan-bulan ini, dia tidak akan membunuhnya.
Ia juga dinamakan ‘shahrullahilmuharram’ iaitu Muharram bulan Allah. Antara hikmah dinamakan sedemikian ialah:
1- Ianya bulan ‘haram’ yang pertama.
2- Rasulullah s.a.w. menamakannya sedemikian. (Hasyiat al-Suyuti ‘ala Sunan al-Nasa’i, 3/206)
3- Bagi tujuan mengagungkannya.(Lisan al-Arab, 2/845)
Amalan Sunnah dalam bulan Muharram:
1- Mengagungkan bulan Muharram.
عن أبي بكرة - رضي الله-عن النبي صلى الله عليه وسلم قال : ((إن الزمان قد استدار كهيئته يوم خلق الله السماوات والأرض ، والسنة اثنا عشر شهراً ، منها أربعة حرم : ثلاث متواليات ذو القعدة وذو الحجة والمحرم ، ورجب مضر الذي بين جمادى وشعبان )) الحديث . متفق عليه: رواه البخاري في صحيحه المطبوع مع فتح الباري (10/7) كتاب الأضاحي ، حديث رقم ( 5550) ، ورواه مسلم في صحيحه (3/1305) كتاب القسامة ، حديث رقم (1679).
Maksudnya: Daripada Abu Bakrah r.a. daripada Nabi s.a.w., sabdanya [Sesungguhnya zaman telah kembali kepada keadaan asalnya seperti hari Allah menjadikan langit dan bumi. Satu tahun ada dua belas bulan. Di antaranya empat bulan haram; tiga berturut-turut iaitu Zul Kaedah, Zul Hijjah dan Muharram serta satu berasingan iaitu Rejab yang lebih dihormati oleh Kabilah Mudar antara bulan Jamadil Akhir dan Sya‘ban.]
Antara cara mengagungkan bulan Muharram ialah dengan tidak berperang dan tidak terlibat dalam perkara yang mencetuskan peperangan.
2- Memperbanyakkan puasa pada bulan Muharram:
عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ((أفضل الصيام بعد رمضان شهر اللّه المحرّم، وأفضل الصلاة بعد الفريضة صلاة الليل)). أخرجه مسلم في الصيام (1163).
Maksud: Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda [Sebaik-baik puasa selepas puasa Ramadhan ialah puasa Muharram bulan Allah. Sebaik-baik solat selepas solat fardhu ialah solat malam.]
3- Puasa hari ‘Asyura:
‘Asyura berasal daripada perkataan ‘asyirah yang bermaksud kesepuluh. (Fathul Bari, 4/245)
3.1- Hukum puasa Asyura‘.
Puasa Asyura‘ adalah wajib sebelum kefardhuan puasa Ramadhan.
حديث عائشة رضي الله عنها قالت: كان يوم عاشوراء يوما تصومه قريش في الجاهليّة, وكان رسول اللّه صلى الله عليه وسلم يصومه، فلمّا قدم المدينة صامه وأمر النّاس بصيامه، فلمّا فرض رمضـان قال: ((من شـاء صامه، ومن شاء تركه) أخرجه البخاري في الصوم (2002)، ومسلـم في الصيام (1125).
Maksud: berkata Aisyah ‘Orang Quraisy pada zaman Jahiliyyah berpuasa pada Hari Asyura‘. Rasulullah juga berpuasa pada hari tersebut. Apabila baginda berhijrah ke Madinah, Baginda berpuasa pada hari itu dan menyuruh orang ramai berpuasa pada hari itu. Apabila difardhukan puasa Ramadhan, Baginda bersabda [Sesiapa yang mahu dia boleh berpuasa dan sesiapa yang tidak mahu dia boleh meninggalkannya]’.
3.2- Hikmah puasa Asyura‘.
Hari Asyura’ ialah hari di mana Allah telah menyelamatkan Nabi Musa a.s. dan kaumnya dari Fir‘aun dan bala tenteranya. Lalu Nabi Musa berpuasa pada hari tersebut sebagai tanda syukur kepada Allah s.w.t. Maka Nabi Muhammad berpuasa pada hari itu dan memerintahkan umatnya berpuasa sama dan baginda bersabda [Kami lebih berhak ke atas Musa berbanding kamu]. Muttafaq ‘alaih (al-Bukhari Kitab al-Saum, No. 2004 dan Muslim Kitab al-Siyam, No 1130).
3.3- Menggandingkan puasa sehari sebelum atau selepas puasa asyura‘.
عن ابن عبّاس رضي الله عنهما قال: لمّا صام رسول اللّه صلى الله عليه وسلم يوم عاشوراء وأمر بصيامه قالوا: يا رسول اللّه، إنّه يوم تعظّمه اليهود والنّصارى, فقال: ((إذا كان عام المقبل إن شاء اللّه صمنا اليوم التّاسع))، قال: فلم يأت العام المقبل حتّى توفّي رسول اللّه صلى الله عليه وسلم
أخرجه مسلم في الصيام (1134).
Maksudnya: Daripada Ibnu Abbas r.a. katanya, ‘Apabila Rasulullah berpuasa pada hari Asyura‘ dan memerintahkan umatnya berpuasa sama, mereka berkata ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya ini adalah hari yang dimuliakan oleh orang yahudi dan Nasrani.’ MakaBagindabersabda [Sekiranya datang tahun depan, insyaAllah, kita akan berpuasa pada hari yang kesembilan]’. Ibnu Abbas berkata, ‘Akan tetapi Rasulullah s.a.w. telah wafat sebelum ketibaan tahun itu’.
عن ابن عباس مرفوعاً: ((صوموا يوم عاشوراء وخالفوا فيه اليهود؛ صوموا قبله يوما أو بعده يوما)) رواه أحمد في مسنده (1/241).
Maksud: Berpuasalah kamu pada hari Asyura‘ dan berbezalah dengan orang Yahudi dengan berpuasa sehari sebelum atau selepasnya.
3.4- Puasa asyura‘ pada hari Sabtu.
Terdapat dua bentuk hadith dalam persoalan ini seperti berikut :
(1) Hadith yang melarang puasa pada hari Sabtu kecuali puasa wajib sahaja.
عن عبد الله بن بسر، عن أخته الصماء أن النبي صلى الله عليه وسلم قال: ((لا تصوموا يوم السبت إلا فيما افترض عليكم، وإن لم يجد أحدكم إلا لحاء عنب أو عود شجرة فليمضغه)) أخرجه أحمد (4/189)، وأبو داود في الصوم (2421)، والترمذي في الصوم (744)، والنسائي في الكبرى (2759)، وابن ماجه في الصيام (1726) وغيرهم.
Maksudnya : Daripada Abdullah bin Busr daripada saudara perempuannya al-Samma’ bahawa Nabi s.a.w. telah bersabda [Jangan berpuasa pada hari Sabtu kecuali yang difardhukan ke atas kamu. Sekiranya seseorang daripada kamu tidak mendapati keculi daun angggur yang kering atau kulit kayu, hendaklah dikunyahnya.]
(2) Hadith yang membolehkan puasa hari Sabtu secara umum.
وحديث أبى هريرة: نهى النبي صلى الله عليه وسلم عن صوم يوم الجمعة إلا مقرونا بيوم قبله أو يوم بعده، فاليوم الذي بعده هو يوم السبت.
Maksudnya : Rasulullah s.a.w. melarang puasa pada hari Jumaat kecuali bersama sehari sebelumnya (Khamis) atau sehari selepasnya (Sabtu).
Berdasarkan pekara ini, terdapat dua pendapat dalam masalah ini iaitu :
(1) Tidak boleh berpuasa Asyura’ pada hari Sabtu berdasarkan hadith pertama.
(2) Boleh berpuasa Asyura’ pada hari Sabtu berdasarkan hadith kedua.

Selasa, 8 Disember 2009

MALANG TIDAK BERBAU...



MALANG TIDAK BERBAU

Salam...

Dah lama tak menulis. Raya Korban dah seminggu berlalu. Tapi ambe masih lagi terbayang2 di kepala akan peristiwa pada hari raya ketiga. Kami sekeluarga dengan empat buah kereta ke Kelantan. Ambe bertolak seawal jam 8 pagi, menuju ke Kampung Tebauk untuk mengambil ibu mertua. Kereta Abang dan adik-adik masih di belakang. Kami berjanji untuk bertemu di Jerteh. Alhamdulillah setiba di Jerteh, tiada apa yang tidak diingini berlaku. Semuanya selamat. Ambe pun alhamdulillah, tidak mengantuk. Biasanya bawa lebih drp sejam, ambe mengantuk. kalau terlampau, ambe berhenti tidur sekejap atau minum di kedai makan.

Malang tidak berbau. Dalam perjalanan ke Rantau Panjang melalui jalan potong daripada Tanah Merah, lebih kurang 20 km ke Rantau Panjang kalau tak silap, ambe kemalangan. Waktu tu trafik slow. bawa kereta sekitar 50 hingga 60 km sejam sahaja. jalan pula bengkang bengkok macam ular kena palu. Sampai satu selekoh, betul2 dekat Balai Polis Kampung Lubuk Sentul, Ambe tak sedar memasuki lorong berlawanan arus. Sedar tak sedar sudah berada di hadapan sebuah kereta Iswara. Ambe cuba balas balik ke kiri untuk memasuki lorong yang betul tetapi malang tidak berbau, kemalangan berlaku. Ketika itu, semua penumpang kereta ambe tidur. Adik ambe Lan dan Fandi, anak ambe Danisyah dan Danial, serta ibu mertua ambe semuanya tertidur. Muka ambe terhantuk ke Stereng kereta hingga berdarah hidung dan mulut. Ambe lekas2 keluar dan arahkan Lan keluar bersama2 anak2 ambe. Dada mulanya rasa sesak nafas akibat terkena stereng tetapi setelah tundukkan badan, rasa sedikit lega. Terlihat di sebelah kiri seat belakang, Ibu mertua tidak sedarkan diri. Dada mula berdebar. Ambe buka pintu, dan cuba gerakkan beliau, "Mak. mak bangun." Rupa2nya Ibu mertua tertidur dan tidak sedar walaupun kemalangan. Syukur alhamdulillah sebab Allah pelihara semuanya dari cedera teruk. Cuma ambe yang berdarah. Yang lain ada sedikit bengkak dan lebam masing2 di kaki. Bimbang juga kalau terjadi apa2 terhadap ibu mertua kerana beliau ada penyakit darah tinggi.


TOLONG MENOLONG

Ahamdulillah oleh kerana kami berkonvoi, Hairul yang mengekori di belakang memang akui bahawa beliau nampak peristiwa itu di depan mata. Di saat Chek(ibu) keluar daripada kereta, Hairul terpaksa memapah Chek kerana hampir2 rebah kerana menyaksikan anak keduanya(ambe lah) kemalangan. Anak2 dikeluarkan oleh adik2. Kalau tak silap, Lan memeluk erat salah seorang anak ambe yang terkejut, tidak berhenti2 menangis. Ada orang yang prihatin bawa ambe ke Klinik Kerajaan di Lati, Rantau Panjang. Muka bengkak akibat terhantuk di stereng. Anak2 ambe dibawa oleh Hairul ke klinik yang sama. Kereta yang dilanggar juga alami kecederaan lebih kurang ambe. Tetapi oleh kerana anak pemandu tersebut diriba oleh isterinya di seat hadapan, ia terhantuk di 'dashboard' sehingga menyebabkan benjolan yang besar di dahi. Timbul rasa kasihan kepadanya tapi apakan daya, ambe pun cedera. Pemandu iswara tersebut berdarah di mulut juga tetapi tidak serius. Isterinya bengkak di muka. Ada seorang lagi anaknya yang cacat OKU tidak mengaami kecederaan kerana dipasangkan kerusi keselamatan(kerusi bayi) yang di'seatbelt'kan di tempat duduk belakang. Ambe cuba ajak pemandu itu ke klinik tapi beliau menolak kerana mahu tunggu di kereta. Tiada sesiapa yang bersamanya lagi. Abangku dan adik2nya ketiadaan ambe bertindak mengeluarkan kesemua barang2 yang ada dalam kereta termasuk tayar 'spare' untuk mengelakkan kecurian. Ini terbukti kerana isteri pemandu Iswara tadi mengadu rantai leher anaknya yang kecil hilang. Ada kesan lebam di leher menandakan ianya diragut orang. Itulah manusia berhati binatang. Dalam keadaan orang kesakitan, dia ambil kesempatan.

Walaubagaimanapun, ambe ucapkan berbanyak terima kasih, jazakumullah(Semoga Allah memberi ganjaran pahala kepada kalian) atas bantuan serta merta abang dan adik2: Abang G, Hairul, Lan, Fandi, Faridah, Fadzil, dan Fazly.

PENGAJARAN

Waktu ambe keluar dari kereta, ambe lihat banyak darah di baju kesan percikan darah hidung dan mulut. Kata Lan adik ambe, dia pun tempias darah ambe walaupun berada di 'seat' belakang. Ambe terus teringat pada hari raya pertama sewaktu menguruskan lembu korban, baju ambe penuh dengan darah lembu tersebut yang tersembur betul2 di muka dan dada baju dek kerana ambe pegang lehernya untuk tegangkan agar penyembelih mudah jalankan tugas dengan baik.

Ambe cuba fikir2kan apa pengajaran yang Allah ingin berikan kepadaku selain pesanan agar berhati2, dan sekiranya mengantuk, terus berehat untuk elakkan kemalangan berlaku. Ambe fikir mungkin ada dosa yang ambe lakukan menyebabkan Allah jadikan peristiwa ini sebagai kaffarah dosa tersebut.

Sehingga ke saat ini, ambe masih lagi fobia kalau bawa kereta jauh2 kerana bimbang mengantuk. Ambe cuba elakkan bawa kereta dalam keadaan tiada teman kalau ke destinasi jauh. beberapa hari lepas pun ambe minta bantuan kawan karib Badli untuk hantarkan ke Pasir Mas, kemudian ke Kubang Kerian untuk uruskan kereta ke bengkel. Terima kasih juga kepada Badli yang sudi menemani ambe.

Nasihat ambe kepada abang, adik2 dan semua pengguna jalanraya, berhentilah kenderaan anda sekiranya letih dan mengantuk. Minum kopi atau berehat atau tidur sekejap untuk kembalikan tenaga. Kalau ada teman ganti memandu, itu lebih baik.

Syukur alhamdulillah kerana ketika kejadian, anak bongsu yang berusia 3 tahun berada di rumah bersama2 isteri ambe kerana demam dan asma. Semuanya ada hikmah tersendiri.

Hamba bersyukur kepada Mu ya Allah...