Maksudnya:
Dari Abu Hurairah r.a : Telah bersabda Rasulullah SAW : " Sesungguhnya Allah Ta'ala itu baik, dia tidak akan menerima melainkan yang baik sahaja. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan kaum Mukminin sama sebagaimana Dia memerintahkan para Mursalin ( para Rasul ). Allah berfirman : ' Wahai para Rasul, makanlah dari yang baik-baik dan kerjakanlah amalan yang saleh. ' Dan Allah berfirman lagi : ' Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari makanan yang baik yang Kami berikan kepada kamu. ' Kemudian Rasulullah SAW mengisahkan tentang seorang lelaki yang telah belayar jauh. Rambutnya kusut, berdebu, mengangkat kedua belah tapak tangannya ke langit serta memohon : Ya Tuhanku ! Ya Tuhanku ! Sedangkan makanannya dari yang haram, minumannya dari yang haram dan pakaiannya dari yang haram, dan dia telah dikenyangkan dari sumber yang haram. Alangkah jauhnya dia ( doanya ) untuk dikabulkan. '
1. DEFINISI ‘TAYYIB’
Tayyib yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah suci dan bersih dari segala keburukan pada amal dan harta benda.
2. ALLAH ITU BAIK, TIDAK DITERIMA MELAINKAN YANG BAIK
Allah bersifat dengan tayyib dan Dia tidak menerima sesuatu amalan hambanya melainkan yang baik. Contoh perkara baik seperti Amal soleh yang kita kerjakan, hendaklah dengan hati yang ikhlas. Sekiranya amalan itu disertai dengan riya takabbur, maka ia tidak dikira ‘tayyib’ lagi. Begitu juga dengan harta benda yang kita sedeqahkan, kalau ianya dari sumber yang haram, maka ia terkeluar daripada istilah ‘tayyib’.
3. ALLAH MEMERINTAHKAN ORANG BERIMAN DENGAN APA YANG DIPERINTAHKAN KEPADA
Allah memerintahkan kita agar memakan makanan yang baik sebagaimana Dia memerintahkan para RasulNya memakan makanan yang halal dan baik.
4.ORANG YANG TIDAK DIPERKENANKAN DOANYA
Di akhir hadis ini menceritakan kisah orang yang tidak diperkenankan doanya. Si lelaki yang berdoa dalam keadaan kusut masai, berdebu tubuh badannya kerana lama dan jauh perjalanannya; dengan makanan, minuman dan pakaian yang haram, doanya tidak diterima oleh Allah walaupun dia berdoa bersungguh-sungguh.
5.PETUNJUK
- Orang beriman wajib memastikan makanan dan minuman, serta pakaiannya adalah halal. Ertinya ia baik dari sudut hukum, faedah dan khasiatnya. Bukan pada zat barang itu sahaja, bahkan dari sudut cara mendapatkannya iaitu melalui jalan dan usaha yang harus di sisi syarak.
- Perkara haram yang meliputi rezeki, pakaian, dan perbuatan kita menjadi penghalang daripada doa dimakbulkan Allah.
Wallahu a’lam…
Ibnuabbas/Hadis10/070905
Tiada ulasan:
Catat Ulasan