Sabtu, 7 Julai 2007

HADIS KE 15 drp Hadis 40 An Nawawi

1.Maksud Hadis

Daripada Abu Hurairah radhiallahu anhu , sesungguhnya Rasululllah s.a.w. bersabda: “Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka berkatalah perkara yang baik-baik atau hendaklah diam sahaja; dan barangsiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah memuliakan jiran; dan barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah memuliakan tetamu.

(Riwayat Al Bukhari dan Muslim)

2.Latarbelakang

Hadith ini mengandungi peraturan berkaitan lidah dan sikap seorang muslim terhadap sesama manusia , khususnya jiran. Ia mengajar kita bertanggungjawab terhadap apa yang kita ucapkan.

Imam Haitami berpendapat hadis ini sangat menyerupai makna yang ada dalam hadis ke 13 iaitu “Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga ia mencintai bagi saudaranya apa yang ia cintai bagi dirinya.”

3.Berkata Baik Atau Diam

Islam sentiasa menanjurkan kita bercakap perkara yang mendatangkan faedah kepada agama. Sekiranya kita tidak mampu berkata perkara yang baik, adalah lebih baik kita diam sahaja kerana kata alim ulama, Banyak bercakap banyaklah dosanya. Biasanya manusia ini cenderung kepada kata-kata umpatan, fitnah , keji mengeji dan seumpamanya. Kerana itulah Nabi hanya beri 2 pilihan kepada kita iaitu sama ada bercakap baik atau diam. Hadis ke 12 menyokong anjuran yang disebutkan ini iaitu yang bermaksud, “Daripada keelokan Islam seseorang itu ialah ia meninggalkan perkara yang tiada kaitan dengannya.”

4.Memuliakan Jiran

Jiran pada setengah pendapat ulama’ ialah orang yang tinggal di sekeliling kita sebanyak 40 buah rumah. Ia tidak terhad kepada orang muslim semata-mata bahkan meliputi sesiapa sahaja yang tinggal berhampiran kita di hadapan, di belakang, di kanan dan kiri.

Ulama’ menggariskan ada tiga kategori jiran. Ada jiran yang mempunyai 1 hak iaitu jiran yang bukan Islam dan bukan juga saudara mara kita. Ada jiran yang mempunyai 2 hak iaitu jiran yang muslim. Dan ada jiran yang mempunyai 3 hak iaitu jiran muslim yang ada pertalian darah atau saudara mara kita.

Rukun berjiran dijelaskan dalam Islam secara terperinci. Antaranya, kita hendaklah sentiasa melayan dan menghormati mereka, tidak menyakiti fizikal mahupun perasaan mereka. Kita tidak boleh mendirikan bangunan atau menanam tanaman yang memasuki sempadan tanah mereka. Hatta air hujan dari atap kita tidak boleh jatuh ke dalam tanah mereka. Apabila sakit atau meninggal, hendaklah diziarahi. Apabila diminta pertolongan hendaklah membantu mereka.

5.Memuliakan Tetamu

Tetamu adalah orang yang bertandang ke rumah kita tidak kira siapa mereka sama ada saudara mara mahupun sahabat handai. Tidak kira sama ada miskin ataupun kaya, tidak kira tua ataupun muda.

Tetamu mempunyai hak bertamu selama 3 hari berturut-turut. Kita hendaklah memenuhi keperluan mereka selama bertamu itu seperti tempat tidur dan makan minum mereka.

6.Kesimpulan

Hadis ini mengajar kita tingkah laku sebagai orang yang beriman, dan sekiranya diamalkan dengan sempurna, ia akan mewujudkan suasana masyarakat yang harmoni, berkasih sayang dan bekerjasama. Tidak timbul lagi masalah umpat mengumpat, fitnah memfitnah, keji mengeji, sakit menyakiti antara satu sama lain.

Wallahu a’lam.

Tiada ulasan: