Jumaat, 14 September 2007

10 Panduan Didik Anak Budayakan Ramadhan


Dalam sahih Bukhari, diriwayatkan daripada ar-Rabi’e binti Muawiz berkata: “Kami semua berpuasa dan kami juga melatih anak-anak kami berpuasa. Kami menyediakan permainan daripada bulu untuk mereka. Apabila salah seorang daripada mereka ingin makan, kami berikan mainan itu sehingga tiba waktu berbuka puasa.”

Berikut adalah 10 panduan untuk membudayakan ibadat Ramadan dalam diri anak:

1. Membuat persiapan menyambut Ramadan dengan menghias rumah dan membeli atau membersihkan keperluan ibadat seperti sejadah, songkok dan telekung. Ia dilakukan supaya anak dapat merasakan kepentingan bulan yang mulia ini.

2. Menceritakan sejarah wajib puasa, mengulang kaji semula rukun, syarat, sunnah, adab dan hikmah puasa supaya anak melakukan ibadah dengan penuh kefahaman dan penghayatan, tidak sebagai ikutan saja.

3. Melatih anak berpuasa secara beransur-ansur selama beberapa jam dan kemudian beberapa hari. Ganjaran berupa pujian dan hadiah boleh diberikan untuk menggalakkan mereka berpuasa tetapi yang lebih penting selalulah menerapkan dalam diri anak untuk mendapatkan pahala dan keredaan Allah dalam apa juga dilakukan. Bagi anak kecil yang tidak berpuasa raikanlah mereka ketika berbuka dan bersahur supaya mereka dapat bersama berdoa dan berkongsi kegembiraan dengan keluarga.

4. Memperingatkan anak supaya menjalani ibadah puasa dengan penuh ihsan iaitu merasakan Allah sentiasa bersama dan melihat setiap perbuatan mereka. Latih jiwa anak untuk reda dengan perintah Allah, ikhlas beramal dan menjaga pantang larang berpuasa setiap masa.

5. Menjaga solat fardu lima waktu dan menunaikan solat berjemaah. Bawalah anak untuk bersolat fardu dan Tarawih berjemaah di masjid. Bagi ibu yang tidak dapat ke masjid kerana anak kecil, mereka boleh solat fardu dan Tarawih berjemaah bersama anak perempuan di rumah.

6. Al-Quran diturunkan pada Ramadan, jadi kita perlu mengingatkan anak supaya menghidupkan Ramadan dengan banyak membaca al-Quran.

Seeloknya bertadarus bersama sekeluarga supaya dapat memperbetulkan tajwid dan pemahaman anak terhadap al-Quran. Mereka juga boleh digalakkan menghafal surah pendek.

7. Mengingatkan anak supaya memelihara kesempurnaan ibadah puasa dengan mengamalkan akhlak yang mulia dan menghindari kegiatan sia-sia. Galakkan mereka untuk mengisi masa lapang dengan banyak berzikir dan membaca buku berfaedah.

8. Mengajar anak berjimat cermat dan mengelakkan pembaziran dalam urusan berbelanja untuk berbuka, bersahur dan persiapan hari raya.

9. Memupuk tolong menolong, berkasih sayang dan mengeratkan silaturahim dengan keluarga, jiran dan sahabat handai seperti mengadakan majlis berbuka puasa bersama serta meningkatkan amalan bersedekah.

10. Mengingatkan anak supaya tidak mensia-siakan kelebihan 10 akhir Ramadan dan tidak meninggalkan takbir hari raya kerana terlalu sibuk dengan persiapan hari raya. Galakkan anak untuk menyambut hari raya dengan penuh keinsafan dan kesyukuran. Terangkan bahawa konsep Ramadan bagi menjaga tunas amalan yang tumbuh dan subur supaya tidak rosak atau cacat dan terus diamalkan pada bulan berikutnya.

Ibu bapa dan orang dewasa adalah contoh kepada anak. Jadi dalam usaha kita membudayakan ibadah berpuasa yang berkualiti dalam diri anak, kita mesti memperbaharui niat dan azam diri untuk terus memperbaiki akhlak dan amal. Sama-samalah kita panjatkan doa supaya ibadah puasa dan ibadat lain sepanjang Ramadan kali ini dapat dijalankan seisi keluarga dan diterima Allah.

Disediakan Pengusaha Taska dan Tadika Islam, Rosnah Ahmad yang boleh dihubungi di wanitajim0@yahoo.com

Tiada ulasan: