Bersama Prof Dr Sidek Baba
AL-QURAN dalam surah al-Baqarah, ayat 183 memberikan asas penting mengenai amalan puasa dalam membangun jiwa muttaqin. Penegasan al-Quran adalah wajar kerana roh manusia perlu dibimbing daripada tahap nafsu yang haiwani ke arah nafsu insani.
Proses pemurniaan jiwa (tazkiah an nafs) adalah jalan membangun jiwa muttaqin. Jiwa muttaqin bakal merintis jalan hidup ke arah kecemerlangan.
Dalam surah al-Hujurat, ayat 13, Allah memberikan asas bahawa manusia yang terbaik atau cemerlang di sisi-Nya ialah orang yang muttaqin. Jiwa muttaqin adalah orang yang memahami pedihnya balasan Allah bagi mereka yang ingkar dan mempunyai insaf-ketuhanan mengenai kekuasaan Allah yang memerhati dan menyaksikan apa dilakukan manusia.
Konsep atqaqum atau ketakwaan penting bagi seseorang Islam. Yang membezakan orang yang percaya kepada agama tauhid dan agama mensyirikkan Allah antara lainnya ialah binaan jiwa muttaqin.
Jiwa muttaqin memberikan asas ihsan kepada manusia. Rasulullah SAW memberikan pedoman bahawa orang yang muhsin apabila melakukan ibadat, walaupun tidak melihat Allah tetapi sentiasa merasakan bahawa Allah melihatnya.
Asas ihsan adalah asas yang sangat releven dengan amalan puasa. Yang menyebabkan manusia berpuasa daripada lapar dan dahaga, memelihara pancaindera, mengawal hawa nafsu ialah keyakinan tinggi bahawa Allah melihat dan mengetahui apa saja yang manusia lakukan.
Jika seseorang mengunci dirinya dalam bilik untuk makan atau minum, orang lain mungkin tidak boleh mengetahuinya. Jiwa muttaqin berasaskan ihsan yang tinggi akan menjadikan manusia yakin bahawa Allah mengetahui perbuatannya.
Jika jiwa muttaqin dan keihsanan tinggi ini sudah sebati dalam diri seseorang Muslim kesan ke arah kecemerlangan adalah hebat sekali. Seorang bapa akan mengasihi isterinya dengan baik kerana suami yang muttaqin tahu bahawa suami harus berlaku adil kepada isteri.
Isteri adalah amanah Allah dan amanah waris walaknya. Makna qawwamun alan nisa iaitu pembimbing dan pelindung isteri memberi makna besar bagi seorang ibu yang bakal membangunkan zuriat suami.
Ibu yang dikasihi dan disayangi suami adalah ibu yang bakal mengalami jiwa sejahtera dan bahagia kerana suaminya adalah pelindung dan pembimbing yang baik. Suami insaf bahawa jiwa muttaqinnya mendidik dirinya bersifat amanah dan adil terhadap isteri. Suami dan isteri adalah bakal contoh kepada pembentukan watak anak. Anak akan menjadi amat berbahagia kerana memiliki ayah dan ibu berjiwa muttaqin.
Hal yang sama juga boleh berlaku jika seseorang itu menjadi pegawai dalam sesebuah jabatan atau organisasi. Penghayatan puasa tidak hanya terbatas dalam hubungan rohaniahnya dengan Allah tetapi hadir di tempat kerja.
Penghayatan rohaniah yang memberikan rasa takwa dan ihsan mendorongnya berlaku amanah, adil, telus dan tulus di tempat kerja. Apa saja yang dilakukan dalam pejabat atau di luar organisasi akan sentiasa diperhati oleh Allah.
Bagi mendapatkan barakah dan rezeki halal di tempat kerja dan kerja sebagai sebahagian daripada ibadat, pegawai itu akan sentiasa menghubungkan jiwa muttaqin dan daya ihsannya yang tinggi untuk tidak melakukan penyelewengan, salahguna kuasa, rasuah atau kezaliman terhadap orang lain. Asas ini akan menjadikan organisasi yang dipimpinnya cemerlang.
Kesan rabbaniyyah juga boleh berlaku antara ahli ilmu dan masyarakat. Pemikir dan pensyarah di universiti umpamanya, perlu memiliki jiwa amanah dan ihsan yang tinggi terhadap pelajarnya. Ilmu yang diajarnya tidak saja membabitkan ilmu mengurus sistem (fardu kifayah) tetapi juga harus dapat menitipkan ilmu mengurus diri (fardu ain).
Ini supaya ilmu mengurus sistem tidak hanya berdiri seadanya tetapi ditunjangi nilai Rabbaniyyah dan etika yang tinggi supaya ilmu dipandu oleh falsafah akhirnya membimbing pelajar kepada kebenaran dan hikmah.
Menghayati puasa memberi makna besar kepada umat Islam. Seperti juga solat, puasa memberikan pengalaman diri yang bermakna. Ia adalah latihan rohaniah dan fizikal yang boleh memberi kesan besar terhadap perubahan watak dan akhlak.
Bayangkan seseorang yang menghayati makna puasa, ia mengerti makna kelaparan. Dengan ihsan dan jiwa muttaqin, ia bakal mendorong ahli ibadat menginsafi bahawa kekayaan dan kemiskinan adalah suatu suratan dan usaha dilakukan manusia.
Memahami kepayahan golongan miskin, tidak berada, mengalami keuzuran dan kesakitan, berjuang di jalan jihad fisabilillah, anak yatim umpamanya mendekatkan ahli ibadat dengan fitrah. Orang yang muttaqin memahami bahawa harta dan kekayaan yang diterima bukan miliknya. Ia harus dibersihkan dengan zakat dan sedekah supaya harta dan kekayaan miliknya dapat dibersihkan.
Menunaikan zakat fitrah dan melakukan infak atau sedekah mendekatkan manusia sesama manusia atas asas mahabbah dan silaturahim serta membangkitkan rasa kemanusiaan yang tinggi. Hikmah melakukan semuanya itu akan kembali kepada diri dan bagi yang ikhlas, Allah akan tambahkan rezeki, harta, darinya pahala dan barakahnya bertambah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan