Selasa, 15 Januari 2008

MENGANGANI KEGANASAN TERHADAP WANITA DAN KANAK-KANAK

Oleh Shamsiah Bt Hj Mahli

Meniti era transisi Malaysia kepada sebuah negara maju telah membawa bersamanya pelbagai bentuk ancaman baru terhadap masyarakat Malaysia itu sendiri. Semakin negara diratai dengan perkembangan pembangunan fizikal bagi memenuhi keperluan dan kehendak manusia yang bersifat multi dimensi ini telah memberikan natijah yang negatif terhadap pembangunan insan. Rentetan kes-kes jenayah yang terus berlarutan telah mengundang kegelisahan terhadap keharmonian dan keamanan negara kita. Masyarakat kini telah didatangi kebimbangan dan dilanda ketakutan yang tidak pernah dialami sebelumnya. Paling mendukacitakan ialah fenomena siri jenayah kejam yang tidak pernah terfikir sanggup dilakukan oleh rakyat Malaysia. Kes keganasan yamg melibatkan rogol, mencabul kehormatan, penderaan dan pembunuhan terhadap wanita Malaysia adalah kes yang paling banyak dilaporkan dan menjadi bahan tatapan wajib dalam lembaran akhbar nasional setiap hari.


Menurut Puan Chew Mei Fun, setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat menyatakan bahawa hasil kajian dan analisis yang dibuat oleh pihak kementerian, secara puratanya, 4 orang wanita dirogol dan dicabul kehormatan setiap hari manakala 7 orang wanita mengalami gangguan seksual dan 100 orang kanak-kanak didera setiap hari. Namun yang menimbulkan keprihatinan kita ialah statistik yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur yang melaporkan bahawa golongan wanita merupakan kumpulan terbesar yang menjadi mangsa pemuas hawa nafsu buas pemangsa sejak tahun 2000. 508 orang adalah pelajar wanita telah dirogol daripada jumlah 1217 mangsa rogol pada tahun 2000, 596 orang daripada 1386 mangsa pada tahun 2001 dan 628 orang daripada 1431 mangsa pada tahun 2002. Sehingga April 2004, seramai 223 daripada 464 mangsa rogol ialah wanita. Seramai 671 pemangsa telah diberkas dan dikenal pasti sebagai perogol pada penghujung tirai 2003.

Menurut Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) tahun 2003 menyatakan bahawa keganasan terhadap wanita adalah perbuatan yang menganiaya wanita dan kanak-kanak dalam pelbagai cara, semata-mata kerana wanita tersebut dianggap sebagai tidak mempunyai taraf yang sama dengan seorang lelaki. Keganasan terhadap wanita meliputi semua bangsa, agama, pendapatan, kelas dan budaya. Ia juga sudah tertanam dalam semua budaya sehinggakan berjuta-juta wanita menganggapnya sebagai satu cara hidup mereka. Keganasan terhadap wanita merupakan satu jenayah dan melanggar hak-hak asasi wanita.

Melalui pembacaan penulis, perkataan keganasan memberikan dua konotasi :

Keganasan dalam terjemahan perlakuan penderaan terhadap fizikal, mental mahupun emosi wanita tersebut.

Keganasan dalam pendefinisian dirogol, diperkosa, dicabul kehormatannya tanpa kerelaan wanita tersebut.




Walau apapun pendefinisian terhadap tema keganasan ini, sebenarnya telah mengundang kesan dan trauma yang berpanjangan kepada mangsa (jika mangsa masih hidup) dan juga terhadap keluarga mangsa terutamanya dalam menjalankan tugas perkembangannya sebagai seorang wanita.

Ingin penulis petik salah satu pendapat daripada Almarhum Syeikh Abu Hassan Ali an- Nadwiy, beliau telah menyatakan bahawa krisis iman dan akhlak yang berleluasa dikalangan umat Islam hari ini telah menyebabkan wujudkan jurang yang semakin jauh antara sikap dan tingkahlaku umat Islam berbanding ajaran Islam sebenar yang suci dan murni. Ingin penulis lahirkan rasa ketakutan melihat gelagat generasi muda hari ini yang berpasangan dan melampaui batas-batas pergaulan, berpeleseran bebas dan seks rambang semakin diterima sebagai norma masyarakat pada hari ini. Isu perbicaraan kes rogol dan bunuh Canny Ong, Norita Shamsudin mendedahkan pada kita bahawa sikap sebahagian masyarakat Malaysia yang telah menjadi semakin lali dan mula menganggap seks bebas tanpa nikah tidak lagi merupakan satu kesalahan besar di sisi agama dan moral.

Tiada istilah dan penjelasan yang mudah bagi mengulas faktor keganasan terhadap wanita. Justeru itu, para penyelidik dan cendikiawan mempersoalkan kesahihan fakta yang mendorong keganasan berlaku. Di sini, penulis menyenaraikan beberapa punca masalah yang didapati merupakan asbab kepada keganasan terhadap wanita.


Personaliti

Personaliti mempunyai perkaitan dengan kelemahan individu yang melakukan keganasan ini. Ini termasuklah sikap panas baran dan lemah kawalan diri. Apabila individu tersebut menerima tekanan dari permasalahan yang dialami, emosi mereka akan terganggu, seterusnya mereka akan melepaskan tekanan tersebut terhadap isteri mahupun teman wanita mereka




Kekecewaan

Kekecewaan berkemungkinan disebabkan oleh kegagalan mencapai matlamat dalam kerja, tugasan harian, dan perhubungan antara perorangan. Kekecewaan ini menyebabkan mereka mendera dan merogol isteri, teman wanita mahupun anak perempuan mereka untuk melepaskan rasa marah dan kecewa mereka.

Budaya

Lelaki bersifat cauvinis dan masculine berkuasa dan mengawal segala hal manakala wanita bersifat feminine submisif iaitu peserah. Penyalahgunaan imej budaya ini telah menjadi penggalak kepada berlakunya kes keganasan. Tambahan pula, kanak-kanak merupakan sumber yang mudah didekati dan tidak mengancam pemangsa. Mungkin inilah yang menjadi faktor meningkatnya kes rogol terhadap wanita. Pemangsa memilih wanita yang tidak mampu berbuat apa mereka bagi memuaskan nafsu mereka.




Sikap Masyarakat

Masyarakat kita yang kononnya bersikap ‘tidak mahu menjaga tepi kain orang’ merupakan salah satu faktor meningkatnya kes keganasan terhadap wanita. Walaupun mereka melihat dengan mata sendiri, wanita didera suami, wanita dirogol oleh orang yang tidak dikenali namun tiada sebarang tindakan diambil. Mereka sepatutnya membuat aduan atau laporan polis. Sekurang-kurangnya laporkan kepada Ketua Kampung atau Ahli Jawankuasa Keselamatan Kampung (JKKK). Kerjasama dari masyarakat amat diperlukan. Kita perlu menjadi masyarakat yang prihatin dan bertanggungjawab bukan hanya menjeling sebelah mata.




Pengaruh Media Cetak dan Elektronik.

Sejak akhir-akhir ini, masyarakat di negara kita gemar dan sudah menjadi kebiasaan menonton VCD lucah. Majalah-majalah dan VCD lucah laris dijual seperti pisang goreng panas. Aksi perlakuan seks atau fidofilia inilah yang merangsang nafsu syahwat terutamanya golongan lelaki.




(g) Faktor seterusnya ialah tiada alternatif atau outlet yang halal, di mana ianya lebih relevan kepada penjenayah seksual dan sedikit terkait juga mangsa adalah ketiadaan saluran (outlet) yang halal dan sah di sisi undang-undang bagi memuaskan nafsu seksual yang bergejolak, kecuali dalam kes-kes penjenayah yang benar-benar psikopatik dan kepuasan ini sedikit sebanyak menyumbang kepada berlakunya jenayah seks. Dorongan nafsu seks dan sifat ganas boleh dibahagi dua. Nafsu seks memanglah ia suatu naluri semula jadi dalam diri manusia. Cuma gejolaknya berbeza-beza di antara satu individu ke individu yang lain bergantung kepada sekadar mana naluri ini diurus-kendali. Gejolaknya dalam diri seseorang akan meningkat terutamanya jika dia dikelilingi pelbagai imej dan mesej yang merangsangkan nafsu tersebut. Ini bertambah buruk jika pengisian akal dan jiwanya tidak disaingi oleh imej dan mesej yang bersifat positif. Dalam hal ini bukanlah kita perlu mengakui secara jujur bahawa terdapat sesuatu lambakan imej-imej dan mesej yang merangsangkan nafsu seks dalam masyarakatkita. Di mana-mana di keliling kita, di kacaTV, VCD, akhbar harian, tabloid, majalah, novel, internet, iklan dan lain-lain secara terang dan tersembunyi imej dan mesej seksual bebas digunakan sebagai tarikan dan hiasan.


Antara faktor lain yang turut menyumbang ke arah berlakunya jenayah seks adanya ruang dan kesempatan bagi si penjenayah. Ruang dan kesempatan berkait dengan soal siapa si penjenayah tersebut, kedudukan dan kebebasannya bergerak di tengah masyarakat, rekod jenayahnya dan sama ada ia diketahui. Ia juga terkait dengan lokasi berlakunya jenayah. Tanpa lokasi yang sesuai penjenayah setegar mana pun akan sukar membuat angkara. Siapa si mangsa juga termasuk dalam faktor ini. Ini amat jelas dalam kes-kes yang melibatkan soft targets seperti wanita. Faktor mangsa juga penting dalam kes-kes jenayah seks yang melibatkan mangsa diperdayakan oleh kenalan sama ada lama ataupun baru.

Keganasan terhadap wanita jelas menunjukkan kepada kita bahawa para wanita tidak mampu melakukan tugas perkembangan mereka sesempurna yang mungkin. Kesan ini boleh menjadi asas kepada berlakunya kebejatan sosial yang lain yang melibatkan para remaja kerana mereka tidak mendapat perhatian dan kasih-sayang daripada ibu mereka yang mengalami masalah didera oleh bapa mereka dan kepincangan keluarga yang mereka sendiri tidak tahu bagaimana hendak menyelamatkannya.

Justeru, penulis berpandangan isu keganasan ini perlu diberi perhatian yang sewajarnya agar wanita sebagai pendidik generasi mendatang mampu melaksanakan tugas mereka sepenuhnya. Wanita yang dianggap sebagai peserah mempunyai sifat yang sabar, mudah mengalah dan masih memberikan ruang maaf sedangkan apa yang berlaku kepada dirinya hampir memusnahkan seluruh kehidupannya. Persoalannya, apakah yang bakal terjadi kepada wanita yang menjadi mangsa keganasan ini ? Bagaimana warna masa depannya? Bagaimana mereka hendak berhadapan dengan masyarakat sedangkan apa yang menimpa diri mereka tidak pernah dimimpikan malah datang tanpa kerelaan mereka?

Penulis menyakini dengan berakhirnya penulisan ini, ianya masih tidak mampu menyedarkan kepada masyarakat malahan memberhentikan keganasan ini satu yang mustahil. Kami berharap kesedaran yang kami perolehi dan kebimbangan yang timbul hasil daripada pembacaan tugasan ini dapat diterjemahkan melalui tindakan yang relevan demi survival ummah akan datang !

Tiada ulasan: