Selasa, 1 April 2008

PANDANGAN PAKAR PSIKOLOGI TERHADAP KES SUFIAH



KUALA LUMPUR 31 Mac – Gadis pintar Sufiah Yusof gagal dalam hidup sehingga terlibat dengan aktiviti tidak bermoral dipercayai berpunca daripada kongkongan ibu bapanya sewaktu kecil.

Pensyarah Psikologi, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Noran Fauziah Yaakub berkata, kuasa kongkongan itu menyebabkan gadis itu gagal untuk mengurus diri sendiri dan tidak pandai memilih jalan kehidupan yang terbaik buat dirinya sendiri.

‘‘Secara logiknya, Sufiah boleh meneruskan kehidupan dengan baik melalui kepintaran akademiknya berbanding menjadi pekerja seks yang langsung tidak memerlukan sebarang kelulusan.

‘‘Dalam hal ini, ibu bapa bukannya dilarang mengongkong anak-anak sebaliknya tidak perlu melakukannya dengan keterlaluan kerana ia boleh menjejaskan emosi anak-anak.

‘‘Anak-anak akan memberontak dan sanggup menggadaikan masa depan sendiri jika mempunyai tekanan emosi akibat perbuatan itu,’’ katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai muka depan akhbar hari ini yang memaparkan mengenai kisah Sufiah yang kini bekerja sebagai pekerja seks untuk meneruskan kehidupan.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Sosiologi dan Antropologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Dr. Fatimah Daud berkata, Sufiah Yusof mungkin mengalami krisis identiti dan nilai yang boleh dirawat secara psikologi dan bimbingan agama.

Beliau berpendapat, tindakannya menjerumus dalam aktiviti sedemikian mungkin berpunca daripada perasaan memberontak selain keinginan dirinya untuk mencuba sesuatu yang asing dan benar-benar mencabar kemampuan inteleknya.

Jelasnya, gadis berusia 23 tahun itu sedar mengenai kesan dan akibat daripada perbuatannya itu, namun, ia tetap dilakukan untuk kepuasan diri sendiri.

Pensyarah Psikologi Pusat Pengajian Psikologi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Khaidzir Ismail pula berkata, Sufiah merupakan salah seorang manusia superior iaitu ingin melakukan sesuatu yang mencabar kemampuannya.

Katanya, orang seperti Sufiah, ini kurang daripada 10 peratus di dunia dan pemikiran golongan ini terlalu ke hadapan selain gemar melakukan sesuatu yang tidak pernah difikir oleh orang lain atau membuat sesuatu tindakan luar jangka.

‘‘Mungkin bagi dirinya, menjadi pekerja seks menepati kehendaknya kerana ingin mencuba sesuatu yang di luar jangkaan. Sebelum ini, ramai menjangkakan dia akan menjadi profesor atau golongan profesional yang berjaya, namun jangkaan itu meleset,’’ ujarnya.

Khaidzir menambah, walaupun pintar dalam matematik, gadis itu tergolong dalam kalangan yang tidak analitikal sewaktu membuat keputusan.

Jelasnya, menjadi pintar dalam akademik tidak bererti pintar dalam menentukan masa depan masing-masing.

Tiada ulasan: