Memaparkan catatan dengan label rumahtangga. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label rumahtangga. Papar semua catatan

Sabtu, 15 Mac 2008


Rancang jantina anak

DOKTOR SAKIT TUAN bersama Dr.Ismail Thamby
E-mel:
sakittuan@hmetro.com.my

ANAK adalah anugerah Allah SWT dan perlu dimartabatkan. Tiada anugerah yang ternilai harganya melainkan anak. Baru-baru ini, seorang lelaki meminta petua dan tip saya untuk mendapatkan anak lelaki kerana selepas hidup dalam 14 tahun perkahwinan bahagia, mereka dikurniakan lima anak perempuan.

Beliau mungkin mencuba pelbagai pendekatan untuk mendapat anak lelaki, tetapi tidak berhasil.

Bagaimanapun, jika beliau mahu mendapatkan tip mendapat anak lelaki, mungkin apa yang saya membicarakannya di sini dapat memberi panduan.

Merancang jantina anak sebelum kelahiran anak

Mengikut pandangan perubatan dan kesihatan, merancang jantina anak untuk mengelak masalah kesihatan akibat penyakit baka dibawa anak yang berjantina perlu dilakukan jika ada kemudahan dan kepakaran.

Penyakit seperti muscular dystropy dan hemophilia hanya dialami lelaki, jika jantina anak dapat ditetapkan pada perempuan, tentu penyakit itu tidak berlaku dalam sesebuah keluarga!

Mengikut pandangan pakar kependudukan, penentuan jantina dengan memilih satu jantina untuk keluarga itu boleh memberi kesan ketidakseimbangan antara wanita dan lelaki dalam daerah yang mengamalkan cara itu.

Kaedah penentuan jantina sebelum kelahiran anak

Mengikut kajian Dr Shettles mengenai benih lelaki, jika benih X lelaki bercantum dengan telur perempuan yang semuanya X, anak itu jantina perempuan dan jika sperma Y bercantum dengan telur wanita (X), jantina anak hasil cantuman itu lelaki.

Benih Y tidak tahan lama dan tidak sesuai dalam suasana asid. Jadi jika telur wanita itu keluar lewat (lebih tiga hari) dan dalam suasana asid, berkemungkinan sperma Y bertemu telur wanita tipis. Kemungkinan besar sperma X bercantum dengan telur kerana sperma X boleh tahan suasana keasidan dan tahan lama (lebih tiga hari).

Mengikut pendapat Dr Shettles, hubungan kelamin yang mana wanita mencapai kemuncak menggalakkan pencapaian anak lelaki, manakala sebaliknya bagi menggalakkan mendapat anak perempuan.

Makanan yang banyak kalsium daripada sodium (garam) menggalakkan untuk mendapat anak perempuan dan amalan pemakanan sebaliknya iaitu lebih sodium daripada kalsium, kemungkinan mendapat anak lelaki tinggi!

Kajian keberkesanan kaedah Dr Shettles sukar dilakukan kerana payah mendapat maklumat mengenai cara dan gaya persetubuhan.

Bagaimanapun, ada kemungkinan mendapat anak lelaki antara 60—70 peratus dan anak perempuan dalam anggaran 40 peratus.

Kaedah ini tidak lagi digunakan masa kini kerana kini ada kaedah lebih berkesan, seperti penyemaian benih dalam rahim ketika wanita itu subur (wujud ovulasi atau pengeluaran telur).

Penyemaian benih dilakukan dengan menapis benih untuk memastikan hanya benih yang membawa baka Y (lelaki) dan benih X (perempuan) mengikut pilihan pasangan kelamin itu.

Kaedah penapisan sperma dilakukan dengan kaedah Eliasson. Kini, ada banyak teknik penapisan sperma lebih berkesan seperti di Jepun dan Korea yang mempunyai teknologi penentuan jantina canggih kerana permintaan tinggi.

Malangnya, negara itu mengamalkan penentuan jantina untuk anak lelaki lebih daripada anak perempuan.

Kaedah penentuan janin terkini

Kaedah bayi tabung uji membuka jalan untuk pasangan kelamin yang mengalami masalah kesuburan menjalani rawatan itu, selain memilih jantina anak yang mereka ingini.

Ketika beberapa telur dibiarkan bercantum dengan sperma lelaki, janin yang terjadi boleh dikenal pasti jantinanya dengan mengambil satu sel daripada embrio untuk diperiksa baka seks.

Jika embrio itu dikenal pasti daripada baka seks pilihan, embrio itu dimasukkan ke dalam rahim supaya menginap pada enometrium dan terus berkembang. Kos kaedah ini mahal kerana menggunakan teknologi canggih.

Namun, risikonya ialah apabila pilihan jantina yang disengajakan gagal, ada kemungkinan anak dilahirkan tidak diberi layanan sepatutnya. Seterusnya daripada sudut pandangan Islam, ia menjadi satu penghinaan pada kuasa Tuhan.

Hakikatnya, anak lelaki atau anak perempuan, kedua-duanya memberi tuah kepada ibu bapa.

Isnin, 21 Januari 2008

MERTUA PISAHKAN SAYA DENGAN SUAMI

Kisah seorang isteri yang tidak direstui Ibu Mertua
Januari 19, 2008

SETIAP wanita yang mendirikan rumah tangga mengharapkan kehidupan yang bahagia di dunia dan akhirat. Namun tidak semua impian akan menjadi seperti yang diharapkan. Namun jangan berputus asa, insaf dan berusahalah untuk mengatasi cabaran yang datang agar kebahagiaan ada dipenghujung.

Begitulah yang saya katakan kepada Camelia (bukan nama sebenar) yang ingin berkongsi masalahnya dengan pembaca.

Wanita lulusan universiti tempatan dan pemegang ijazah kelas pertama ini sudah dua tahun menderita diabaikan suami gara-gara sikap mentua.

Camelia diperkenalkan oleh sepupunya yang juga jiran saya. Kata Camelia, dia ikhlas bercerita kerana ingin mengurangkan tekanan yang dihadapinya di samping berharap kisahnya menjadi iktibar kepada mereka yang mungkin mengalami musibah yang sama.

Begini kisah Camelia.

“Semasa di kampus saya pernah bercinta dengan rakan kolej tetapi kami hanya mampu merencanakan masa hadapan untuk hidup bersama, namun takdir Tuhan tiada terduga, cinta kami patah di tengah jalan.

“Mungkin ada hikmah yang tersurat. Saya pasrah dan malas untuk memikirkan soal teman hidup lalu menyerahkan segala urusan tersebut kepada keluarga.

“Dalam menempuh usia yang mencecah 27 tahun, keluarga amat runsing dengan masa depan saya yang masih belum dilamar oleh sesiapa.

“Berpegang kuat pada adat, keluarga telah mengatur majlis pertunangan saya dengan anak seorang kenalan mereka yang tinggal sekampung. Kerana pernah dikecewakan, saya dengan ikhlas hati menerima A seadanya.

“Saya ingin membahagiakan hati kedua-dua ibu bapa, keluarga dan yang paling saya impikan adalah menjadi seorang isteri dan ibu mithali.. Itu janji dan doa saya dan insya-Allah saya akan lakukan yang terbaik.

“Sebulan selepas bernikah kami berpindah untuk tinggal bersama keluarga mentua. Itu kehendak suami dan saya akur. Terasa bertuah mendapat mentua yang baik hati dan suami yang penyayang. Namun hari-hari yang saya lalui amat perit sekali apabila terbukti suami yang saya nikahi adalah anak ‘mak sayang’.

“Makan minum suami emak mentua yang tentukan termasuk pakaian dan tempat tidur kami.

“Dek kerana rumah emak saya berhampiran dengan rumah mentua, saya lebih kerap pulang ke rumah emak kerana bosan dengan sikap mentua dan ipar-duai yang begitu mengongkong suami saya. Sebagai seorang isteri saya juga berhak ke atas suami dalam beberapa perkara.

“Telah berbulan-bulan saya bersabar, namun keadaan semakin teruk. Kami pernah merancang untuk berpindah dan suami setuju dengan cadangan saya, tetapi hajat kami terhalang. Mentua menuduh saya cuba ‘melarikan’ anak kesayangannya.

“Saya tidak pernah cerita masalah ini kepada keluarga kerana tidak mahu emak dan ayah bersedih. Balik rumah mak saya seorang diri.

“Saya membohongi emak dan ayah mengatakan suami tidak datang bersama kerana ada tugasan di luar. Akhirnya mereka tahu juga.

“Saya semakin tertekan, tambahan badan menjadi lemah kerana sedang mengandung anak sulung dan suami langsung tidak mempedulikan masalah kesihatan dan emosi saya.

“Hanya kepada Allah saya bemunajat, semoga segalanya akan kembali ceria. Mungkin ini ujian yang telah ditakdirkan kepada saya.

“Walaupun pernah dihalau kerana pergi ke rumah mentua untuk menemui suami yang ‘dikurung’ saya tebalkan muka dan masih mampu untuk bersalaman dengan emak mertua yang saya anggap seperti ibu kandung.

“Kami tidak dibenarkan untuk tinggal sebumbung namun saya pasrah. Hukuman ini amat tidak adil. Sikap mentua sudah melampau, tapi saya harungi juga sehinggalah saya selamat melahirkan seorang bayi lelaki.

“Di luar dugaan, suami hadir memberi sokongan. Itulah saat saya mendapat perhatian seorang suami. Terasa bahagia menjadi seorang isteri dan ibu kepada bayi comel yang telah saya lahirkan.

“Sayangnya itulah sahaja kegembiraan saya. Sepanjang berpantang, suami tidak langsung ambil kisah. Dimana silap dan salah saya?

“Saya mula membenci emak mertua apabila dia mengatakan anak saya bukan cucunya yang sah. Macam bom nuklear meletup bila saya dituduh curang!

“Suami saya tidak langsung membela atau mempertahankan maruah saya dan dia dihalang untuk memberi perhatian kepada anak kami.

“Kini saya menghabiskan masa di rumah keluarga. Kasihan kepada emak dan ayah kerana turut bersedih dengan nasib malang yang menimpa saya.

“Atas nasihat ayah kami diminta untuk bercerai dan saya menolak dengan penuh hormat cadangan tersebut.

“Saya masih sayangkan rumah tangga yang kami bina dan tidak mahu anak saya yang tidak berdosa menjadi ‘yatim’ walaupun saya mampu untuk memeliharanya.

“Tapi saya sedih kerana tidakkah suami saya merindui anaknya yang masih belum mengerti apa-apa. Saya berdoa siang malam memohon kepada Allah agar rumah tangga saya dapat diselamatkan.

“Menerusi ruangan ini, jika suami terbaca, saya merayu kepadanya, “Abang, maafkan saya jika ada salah, jika ada yang terkurang tolonglah bimbing dan jangan tinggalkan kami seperti musafir yang tidak mempunyai sesiapa di muka bumi ini. Kepada mentua, jangan bersikap kejam terhadap kami, jadilah orang tua yang boleh melindungi anak menantu dan cucu, bukan memusnahkan kebahagiaan mereka!’’ begitu syahdu Camelia menamatkan ceritanya diiringi air mata yang berlinangan di pipi.

Sepuluh minit suasana hening. Kami terkedu. Sebak di hati tidak dapat hendak saya ceritakan. Saya tidak punya kaitan saudara dengan Camelia tapi deritanya dapat saya rasakan.

Saya biarkan dia bercerita dan meluahkan seluruh isi hatinya tanpa sebarang gangguan.

Begitu besar pengorbanan Camelia terhadap rumah tangganya. Taat setianya kepada suami tidak berganjak sedikit pun biar perasaan dan jiwanya tertekan dengan tindakan suami dan mentua.

Sebagai orang tua sepatutnya mentua Camelia menasihati anaknya, Terima hakikat anaknya itu sudah menjadi suami orang. Redakan kehidupan baru mereka. Biarkan tanggungjawab itu diambil alih oleh isterinya. Sebagai orang tua, peranan kita hanya untuk membimbing dan menegur mana yang tidak betul agar rumah tangga mereka aman dan sejahtera selalu.

Pesanan saya kepada Camelia, bersabar dan berdoa agar satu hari nanti suami anda akan sedar kesilapannya dan kembali menjadi ketua keluarga yang dirahmati Allah s.w.t.

Buat sementara sayangi dan jagalah bayi yang dilahirkan itu dengan baik, curah sepenuh perhatian dan kasih sayang kepadanya. Selalulah bisikan di telinganya bahawa dia masih ada ayah yang baik serta penyayang yang satu hari nanti akan kembali memeluknya.

Sambil mengingatkan diri saya dan juga wanita di luar sana, sedikit catatan buat renungan bersama.

“Jika bahagia itu ada pada harta, kita bisa mencarinya. Jika bahagia itu ada dalam perhiasan, kita boleh berusaha mendapatkannya. Namun bukan kebahagiaan itu yang kita cari sebenarnya. Kebahagiaan sebenar adalah keimanan di dalam hati. Dan hati tidak bisa dikuasai melainkan oleh Tuhan. Inilah kebahagiaan sejati. Tidak ada yang merasakannya kecuali orang yang hatinya, jiwanya dan fikirannya mengalirkan cinta kepada Allah. Yang memiliki kebahagiaan sejati adalah Dia Yang Maha Esa, maka mohonlah kebahagiaan dari-Nya dengan ketaatan kerana sebagai wanita, isteri dan ibu, benteng yang paling kuat adalah menjadi wanita solehah.’’

Salam.