Memaparkan catatan dengan label soaljawab hukum. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label soaljawab hukum. Papar semua catatan

Isnin, 13 Oktober 2008

WAKTU HARAM SOLAT


Soalan:
Bila waktu haram solat? Adakah waktu tu haram untuk solat sunat ke fardhu ke qadha ke ?

Jawapan:

عن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم نهى عن صلاة بعد العصر حتى تغرب الشمس ، وبعد الصبح حتى تطلع الشمس

Maksudnya : Dari Abi Hurairah r.a :Sesungguhnya Rasulullah s.a.w melarang dari mengerjakan solat selepas asar sehingga terbenam matahari dan solat selepas subuh sehingga terbit matahari.[hadis riwayat Imam Bukhari,Imam Muslim,Imam Abu Dawud,Imam Tirmizi,Imam Nasaie dan Imam Ahmad

Waktu-waktu yang diharamkan solat

Sebahagian As-Syafi'eyah mengiktibar sebagai (waktu-waktu yang dimakruhkan untuk solat) iaitu tegahan karahah tahrim[Karahah tahrim adalah apa yang di sabitkan haramnya itu dengan dalil yang ihtimal dan perlu kepada takwil]-makruh tahrim.

Waktu yang diharamkan untuk solat ada lima :Tiga berhubung dengan waktu dan dua berhubung dengan perbuatan


Waktu waktu yang diharamkan solat yang berhubung dengan waktu

1) Dari terbit matahari sehingga tegak dengan kadar tombak dengan pandangan mata iaitu bersamaan 16 minit.(dalam tempoh 16 minit setelah matahari terbit)


Kadar tombak adalah 4 darjah

Satu darjah bersamaan 4 minit


2) Dari istiwa (pembahagi dua) matahari sehingga zawal (gelincir).Tempohnya terlalu singkat,diharamkan solat ketika ini.


Istiwa adalah : matahari berada di tengah-tengah langit

Zawal adalah : Condongan matahari di tengah-tengah langit


3)Dari langit kelihatan kekuning-kuningan sehingga maghrib.


Waktu-waktu yang diharamkan utuk solat yang berhubung dengan perbuatan

1) Selepas melaksanakan solat subuh sehingga terbit matahari

2) Selepas melaksanakan solat asar sehingga terbenam matahari

Solat-solat yang diharamkan pada waktu yang diharamkan untuk solat,( waktu yang lima) terbahagi kepada dua:

1) Solat-solat sunat kerana sabab muta'akkhir (sebab terkemudian) .Ia terbahagi kepada enam:

a) Solat sunat ihram

b) Solat sunat istikharah

c) Solat sunat keluar dari rumah

d) Solat sunat musafir

e) Solat sunat Qatl

f) Solat sunat hajat


2) Solat sunat mutlak,iaitu solat yang tanpa sebab dan tiada waktunya,seperti solat tasbih dan sebagainya yang tiada waktu yang khusus untuk melaksanakannya.

Waktu-waktu yang terkecuali daripada waktu yang haram iaitu berhubung dengan tempat dan waktu.

1) Tempat : Tanah Haram mekah : iaitu di dalam masjid haram dan kawasan-kawasan tanah haram di mekah,maka dibolehkan solat di kawasan ini pada bila bila waktu tanpa ada waktu yang diharamkan.

2) Waktu : Dari waktu istiwa sehingga zawal pada hari jumaat

Tidak diharamkan untuk melaksanakan qada solat pada waktu-waktu yang diharamkan untuk solat. (boleh melaksanakan qada solat pada bila bila waktu tanpa ada waktu tahrim)

Begitu juga dengan solat-solat sunat kerana sabab mutaqaddim (sebab terdahulu) seperti sola sunat wudhu dan solat sunat tahiyat masjid,ataupun kerana sabab muqaran (sebab bergandingan) seperti solat gerhana matahari dan bulan.

Hukum solat ketika khutbah jumaat

Apabila khatib sedang berkhutbah di atas mimbar,maka diharamkan untuk solat walaupun solat itu adalah solat qada kecuali solat sunat tahiyat masjid dan diwajibkan untuk meringankan (mempercepatkan) solat tahiyat masjid itu dan tidak boleh menambah dua rakaat lagi selain dari solat tahiyat masjid yang tadi.

Rabu, 19 Mac 2008

PILIH KASIH DALAM MEMBERI HADIAH


Soalan; Seorang bapa sebelum ia meninggal telah memberi hibah (hadiah) sebahagian hartanya kepada anak yang dikasihinya sedangkan ia mempunyai anak-anak yang lain. Apa pandangan Syarak tentang fenomena yang selalu berlaku ini?

Jawapan;

Sikap pilih kasih di antara anak-anak dalam pemberian (yakni sama ada memberi kepada anak tertentu sahaja atau melebihkan sebahagian ke atas sebahagian yang lain) adalah dilarang oleh Syarak. Rasulullah s.a.w. bersabda di dalam sebuah hadis;

اِعْدِلُوْا بَيْنَ أَبْنَائِكُمْ اِعْدِلُوْا بَيْنَ أَبْنَائِكُمْ اِعْدِلُوْا بَيْنَ أَبْنَائِكُمْ
“Berlaku adillah di antara sesama anak-anak kamu, berlaku adillah di antara sesama anak-anak kamu, berlaku adillah di antara sesama anak-anak kamu”. (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan an-Nasai dari an-Nu’man bin Basyir r.a.. Menurut asy-Syaukani; para perawi hadis ini adalah tsiqah kecuali al-Mufadhdhal bin al-Mihlab di mana ia adalah shaduq. Lihat; Nailul-Autar)

An-Nu’man bin Basyir r.a. menceritakan; bapanya telah membawanya bertemu Rasulullah s.a.w. dan berkata kepada baginda; “Sesungguhnya aku telah menghadiahkan anakku ini seorang hamba milikku”. Lalu Rasulullah bertanya kepadanya; “Apakah kepada semua anak kamu kamu beri hadiah serupa?”. Jawabnya; “Tidak”. Lalu Rasulullah bersabda kepadanya; “Ambillah kembali hadiah itu”.
(Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).

Ada ulamak mentafsirkan larangan di dalam hadis di atas sebagai haram, antaranya Imam Tawus, as-Sauri, Ahmad, Ishaq dan sebahagian ulamak mazhab Maliki. Bagi mereka menyama-ratakan antara anak-anak dalam hibah atau pemberian adalah wajib. Tidak harus mengkhusus sebahagian mereka dari sebahagian yang lain atau melebihkan sebahagian atas sebahagian yang lain. Ada juga ulamak yang mentafsirkannya sebagai larangan makruh sahaja antaranya Imam Syafi’ie, Imam Abu Hanifah dan Imam Malik. Kesimpulannya, bersikap pilih kasih dalam pemberian kepada anak-anak sekurang-kurang hukumnya adalah makruh iaitu dibenci oleh agama. Hal ini telah menjadi ijmak para ulamak.

Jika perbuatan tersebut telah dilakukan, apakah wajib ditarik balik hibah/pemberian yang telah diberikan kepada sebahagian anak itu? Menurut Imam Ahmad; wajib ditarik balik hibah atau pemberian itu (yakni di sisi Imam Ahmad; hibah tersebut adalah batal). Namun Imam Abu Hanifah, Syafi’ie dan Malik berpandangan; tidak wajib ditarik balik. (Rahmatul-Ummah Fi Ihktilaf al-Aimmah).

Wallahu A’lam.
Rujukan;

1. Nailul-Authar, Juz. 6, Kitab al-Hibah Wa al-Hadiyyah.
2. Rahmatul-Ummah Fi Ihktilaf al-Aimmah, Muhammad Ibn Abdirrahman ad-Dimasyqi asy-Syafi’ie, hlm. 194.