Khamis, 17 Januari 2008

ADAKAH SIFAT IBUBAPA MENURUN KEPADA ANAK?

Apakah sifat lampau ibubapa menurun kepada anak?

Benarkah perbuatan lampau ibu bapa (yg jahat/baik) akan turun pada anak-anaknya?
Kerana sebelum berkahwin saya & suami bukanlah seorang yg baik dari segi agama dan tingkah laku.Tetapi kami telah berubah sejak berkahwin dan setelah mempunyai anak.

jawapan:

Alhamdulillah, inilah jawapannya:

a. Pendidikan anak-anak menurut Islam bermula dari diri ibubapa itu sendiri, sejak sebelum aqad lagi. Sebab itu kita dianjurkan agar memilih isteri atau suami yang baik dari sudut agama dan akhlaknya.Kemudian pendidikan itu berlanjutan selepas aqad dan seterusnya…..

b. Taufiq dan hidayah berada di dalam genggaman Allah Taala. Manusia diberikan potensi untuk mencapainya. Juga punya ikhtiar untuk memilih samada mahukannya ataupun tidak. Setelah berusaha atas pilihan itu, Allah jua tempat berserah, samada Dia akan memperkenankannya ataupun tidak. Doa disyariatkan untuk kita memohon agar kita sentiasa diberi taufiq dan hidayahNya.

Tidak semua manusia diberi nikmat iman dan Islam. Manakala yang punya iman dan Islam, tidak semua yang berada dalam keadaan taat kepadaNya. Ada yang semasa remaja, kehidupannya bergelumang dengan maksiat dan keengkaran. Namun Allah memberinya petunjuk dan dia kembali ke dalam dakapan rahmat Allah.

Ada yang semasa mudanya berada dalam ketaatan kepada Allah, kemudian Allah pesongkan jalan kehidupannya. Jadilah dia orang yang sesat.

Itu semua adalah kekuasaan mutlak dari Allah Maha Pencipta. Kita tidak tahu bagaimana kesudahan hidup kita, genarasi kita. Banyak bukti `hidup’ tentang kekuasaan mutlak Allah dalam mengurniakan dan menarik balik kurniaan Iman dan Islam. Ketaatan dan pengengkaran. Ada sebahagian hamba Allah yang mungkin kita dilihat sebagai `tidak ada harapan’ untuk baik dan menjadi soleh. Tetapi dengan kekuasaan mutlak yang dimiliki, Allah menurunkan sebab, yang adakalanya terlalu remeh. Dengannya, hamba ALlah ini bertukar menjadi hamba taat. Hatinya penuh dengan rasa cinta kepada agamanya.

Begitu juga sebaliknya.. Asalnya taat, kemudian dengan sebab dan ujian kecil, ada yang dicabut terus iman dan Islamnya dari dadanya. Dia menjadi murtad. Moga ALlah melindungi kita darinya.

Sebagai hambaNya kerdil, apa yang mampu kita lakukan ialah berikhtiar dan berdoa. Ikhtiar dan doa bukan hanya untuk diri kita malahan untuk keluarga, anak-anak, genarasi berikutnya dan kaum muslimin seluruhnya. FirmanNya:
Ertinya: Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa. (Al-Furqan:74)

FirmanNya lagi:
Ertinya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.” (Ibrahim:40)

c. Puan yang bertanya hendaklah bersyukur kepada Allah kerana dengan sifat Rahman dan RahimNya, Dia telah membuka lorong-lorong kebaikan dan cahaya kepada puan setelah berada di dalam kegelapan. Tanpa cahaya amal dan ketaatan. Kewajipan puan suami isteri sekarang ini dan dihari mendatang ialah memelihara kurnia ketaatan ini dan berusaha menambahkannya lagi. Bagaimana? Iman dan Islam hendaklah dibajai dengan amal. Pelihara dan bentenginya dengan ilmu. Hiasinya dengan akhlak yang terpuji.

Ketahuilah, bahawa ALlah amat menyukai orang-orang yang bertaubat. Dan orang yang bertaubat dari dosanya adalah seperti orang yang tiada dosa lagi.

d. Benarkah perbuatan lampau ibu bapa (yg jahat/baik) akan turun pada anak-anaknya?
Jawab: Saidina Umar r.a., apabila mengenangkan masa lampaunya ketika jahiliyah.. Adakalanya dia tersenyum, dan adakalanya dia menangis. Dia tersenyum kerana perbuatan bodohnya menyembah tuhan (berhala) yang dibuat dari makanan. Lalu apabila lapar, tuhan itu dimakannya. Dan, dia menangis kerana begitu keras dan mati hatinya sehingga tergamak menanam anak perempuannya hidup-hidup.

Itulah keadaan Umar ketika jahiliyah. Namun setelah Allah buka hatinya kepada Islam, bagaimana keadaan Umar? Dia adalah orang yang digelar al-Faruq, iaitu pembeda antara yang haq dan yang batil. Umar yang pendapatnya banyak berbetulan dengan apa yang diturunkan oleh Allah. Umar yang meredhai Tuhannya dan Tuhannya meredhainya.

Anak Umar pula.. Siapakah yang tidak mengenal Abdullah bin Umar. Iaitu salah seorang dari para fuqahak besar pada zamannya.

Seandainya kejahatan masa silam ibubapa faktor mutlak perangai kepada anak-anak, sudah tentu Abdullah Ibnu Umar tidak seperti Ibnu Umar yang kita kenal.

Jangan berputus asa terhadap masa silam. Pandanglah ke hadapan.

Ada kata-kata bijak pandai: Da’il Qalaqa Wabda’il hayah (Tinggalkanlah keluh kesah, dan mulakanlah hidup baru).

————–
Guru kami sering berpesan agar kami semua bercita-cita tinggi, bersemangat kuat dan berusaha keras. Katanya, cita-cita, semangat dan usaha yang tinggi, sekalipun gagal dicapai, ia akan menurun kepada anak-anak. Sebab itu guru kami tidak memandang kepada pencapaian, tetapi kepada usaha, semangat dan cita-cita kami. Katanya, hasilnya samada berjaya atau tidak, itu adalah kerja Allah Taala. Kewajipan kita ialah berusaha dan bercita-cita tinggi.

—————–
Pandangan-pandangan para ulamak yang di dasarkan kepada firman ALlah dan sabdaan rasulNya mengenai pendidikan antara isikandungannya ialah:
* Pendidikan anak-anak bermula dari dalam kandungan lagi, bahkan sejak sebelum itu lagi.
* Pendidikan anak-anak adalah satu usaha yang berterusan. Ia tidak boleh putus.
* Pendidikan anak-anak mengandungi unsur-unsur yang pelbagai yang saling bertautan.

Ia adalah satu peringatan kepada ibubapa dan pendidik agar tidak mengabaikan pendidikan terhadap anak-anak.

Begini.. Alangkah baiknya jika kita dapat mendidik anak-anak dari peringkat awal lagi. Semasa anak itu dilahirkan kita azankan dan iqaomahkan ke telinganya. Kita beri nama yang baik. Kita aqiqahkannya dsbnya… Namun apabila masa itu telah terlepas akibat kejahilan kita di masa lalu, apakah bermakna anak itu sudah tidak punya harapan lagi? Sudah tentu masih punya harapan lagi…

Sekarang ini di mana kita sedang berdiri? Kita sudah sedar dan kejahilan sudah kita padamkan.. Maka masih belum terlambat untuk memulakannya dari tempat kita berdiri.

Apabila anak-anak itu sudah serong langkahnya, apakah sudah tidak ada harapan lagi… Masih belum terlambat, mulakanlah dari tempat kita berdiri itu. Jangan tangguh menanti dua tiga tapak ke hadapan.

Seterusnya.. Seandainya anak itu telahpun dewasa atau separuh umur, ibubapapun sudah tiada, apakah dia boleh berkata: “Sudah terlewat, aku tidak dapat diselamatkan lagi.. Apa boleh buat dulu ibubapa aku seorang ahli maksiat. Tidak didik aku dengan agama..”

Ini adalah kefahaman yang salah. Pendidikan dan taubat tidak pernah ditutup pintunya kepada sesiapapun sehinggalah nyawa seseorang berada ditenggorokan. Hatta, ketika hendak mati, Islam masih membuka pintu pendidikan dan taubat dengan mentalqinkan (mengajar) kalimah tauhid di telinganya.

Wallahu a’lam

Rujukan:
Al-Quran
Tarbiyatul Aulad Fil Islam, Abdullah Nashih Ulwan.

Rabu, 16 Januari 2008

KISAH TELADAN 1-IBRAHIM ADHAM & ABU ISHAK

Suatu hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia berkata, "Wahai Aba Ishak! Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat." Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata, "Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka boleh kamu melakukan maksiat." Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya. "Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?"
Ibrahim bin Adham berkata, "Syarat pertama, jika kamu bermaksiat kepada Allah, jangan memakan rezekinya." Mendengar itu dia mengernyitkan kening seraya berkata, "Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah? "Ya!" tegas Ibrahim bin Adham. "Kalau kamu sudah memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar larangan-Nya?"

"Yang kedua," kata Ibrahim, "kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal di bumi-Nya! Syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati. Ibrahim kembali berkata kepadanya, "Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezeki- Nya dan tinggal di bumi-Nya, sedangkan kamu melanggar segala larangan-Nya?"

"Ya! Anda benar." kata lelaki itu. Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga. Ibrahim menjawab, "Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat oleh-Nya!" Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata, "Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?" "Ya, kalau memang yakin demikian, apakah kamu masih berkeinginan melakukan maksiat?" kata Ibrahim. Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat.
Ibrahim melanjutkan, "Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya, 'Ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal soleh'." Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera tersedar, "Wahai Ibrahim, mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku?"

"Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana engkau boleh lari dari kemurkaan Allah?"

"Baiklah, apa syarat yang kelima?" Ibrahim pun menjawab, "Wahai Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya."

Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia berkata, "Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya." Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran. "Mulai saat ini akut bertaubat kepada Allah." katanya sambil terisak- isak.

BAYI BARU LAHIR ADA GIGI!

Bayi Baru lahir dah bergigi
Posted on Wednesday, January 16 @ 14:17:49 MYT by greenboc
Berita Oleh pemudawilayah

"Oleh Zaitie Satibi

PEKAN: Seorang bayi lelaki berusia 22 hari menarik perhatian umum apabila sudah tumbuh sebatang gigi di bahagian depan gusi bawahnya ketikadilahirkan.

Bayi itu, Johann Abraham Mohd Mustafa dilahirkan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dengan berat 3.55 kilogram, pada 24 Disember lalu.

Ibunya, Khairani Mat Sood, 38, dari Taman Pelangkah, Pulau Keladi, di sini, berkata mulanya dia menyangka benda putih dan keras pada mulut anak keenamnya itu sebahagian gusi.

Namun, menurutnya, selepas seminggu benda putih itu membesar dan membentuk sebatang gigi sempurna.



“Kejadian berkenaan mengejutkan seluruh keluarga dan kami menganggapnya unik dan mengikut orang tua-tua, bayi lahir bergigi akan membawa tuah kepada keluarga.

“Kami berharap andaian itu benar dan menjadi kenyataan berikutan kelahirannya agak pelik berbanding lima anak lain,” kata suri rumah itu.

Menceritakan detik kelahiran Johann, Khairani berkata, bayi itu dilahirkan dalam suasana penuh kesukaran ketika Pahang dilanda banjir besar akhir tahun lalu.

“Sebelum dia dilahirkan, saya sekeluarga menetap sementara di pusat pemindahan banjir di Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah (SHAH) Pekan, apabila rumah ditenggelami air.

“Ketika sakit mahu bersalin, saya diterbangkan ke HTAA menaiki helikopter Nuri pada 23 Disember lalu kerana semua jalan terputus hubungan akibat banjir.

“Johann selamat dilahirkan esoknya kira-kira jam 10.15 malam. Namun, proses kelahirannya tidak banyak berbeza dengan lima anak lain dan kami dua beranak dibenarkan pulang tiga hari kemudian,” katanya.

Menurutnya, setakat ini, dia belum lagi membawa Johann menemui doktor gigi untuk pemeriksaan tetapi setiap hari, dia mencuci gigi itu menggunakan tuala lembut bagi menjaga kebersihan.

=============================================

Teringat pula ambe novel jibam hasil karya Ujang. Antara dialog flashback kisah jibam dilahirkan, bapanya terkejut kerana mendapati anaknya(jibam) dilahirkan tiada gigi. Beberapa ketika barulah bapanya sedar bahawa bayi baru lahir memang tak ada gigi. Cerita di atas pula sebaliknya. walaubagaimanapun, semua yang terjadi merupakan kehendak Allah. Pasti ada hikmah di sebaliknya. Allah berkuasa untuk menjadikan sesuatu yang mencarik adat atau kebiasaan.

Selasa, 15 Januari 2008

MENGANGANI KEGANASAN TERHADAP WANITA DAN KANAK-KANAK

Oleh Shamsiah Bt Hj Mahli

Meniti era transisi Malaysia kepada sebuah negara maju telah membawa bersamanya pelbagai bentuk ancaman baru terhadap masyarakat Malaysia itu sendiri. Semakin negara diratai dengan perkembangan pembangunan fizikal bagi memenuhi keperluan dan kehendak manusia yang bersifat multi dimensi ini telah memberikan natijah yang negatif terhadap pembangunan insan. Rentetan kes-kes jenayah yang terus berlarutan telah mengundang kegelisahan terhadap keharmonian dan keamanan negara kita. Masyarakat kini telah didatangi kebimbangan dan dilanda ketakutan yang tidak pernah dialami sebelumnya. Paling mendukacitakan ialah fenomena siri jenayah kejam yang tidak pernah terfikir sanggup dilakukan oleh rakyat Malaysia. Kes keganasan yamg melibatkan rogol, mencabul kehormatan, penderaan dan pembunuhan terhadap wanita Malaysia adalah kes yang paling banyak dilaporkan dan menjadi bahan tatapan wajib dalam lembaran akhbar nasional setiap hari.


Menurut Puan Chew Mei Fun, setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat menyatakan bahawa hasil kajian dan analisis yang dibuat oleh pihak kementerian, secara puratanya, 4 orang wanita dirogol dan dicabul kehormatan setiap hari manakala 7 orang wanita mengalami gangguan seksual dan 100 orang kanak-kanak didera setiap hari. Namun yang menimbulkan keprihatinan kita ialah statistik yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur yang melaporkan bahawa golongan wanita merupakan kumpulan terbesar yang menjadi mangsa pemuas hawa nafsu buas pemangsa sejak tahun 2000. 508 orang adalah pelajar wanita telah dirogol daripada jumlah 1217 mangsa rogol pada tahun 2000, 596 orang daripada 1386 mangsa pada tahun 2001 dan 628 orang daripada 1431 mangsa pada tahun 2002. Sehingga April 2004, seramai 223 daripada 464 mangsa rogol ialah wanita. Seramai 671 pemangsa telah diberkas dan dikenal pasti sebagai perogol pada penghujung tirai 2003.

Menurut Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) tahun 2003 menyatakan bahawa keganasan terhadap wanita adalah perbuatan yang menganiaya wanita dan kanak-kanak dalam pelbagai cara, semata-mata kerana wanita tersebut dianggap sebagai tidak mempunyai taraf yang sama dengan seorang lelaki. Keganasan terhadap wanita meliputi semua bangsa, agama, pendapatan, kelas dan budaya. Ia juga sudah tertanam dalam semua budaya sehinggakan berjuta-juta wanita menganggapnya sebagai satu cara hidup mereka. Keganasan terhadap wanita merupakan satu jenayah dan melanggar hak-hak asasi wanita.

Melalui pembacaan penulis, perkataan keganasan memberikan dua konotasi :

Keganasan dalam terjemahan perlakuan penderaan terhadap fizikal, mental mahupun emosi wanita tersebut.

Keganasan dalam pendefinisian dirogol, diperkosa, dicabul kehormatannya tanpa kerelaan wanita tersebut.




Walau apapun pendefinisian terhadap tema keganasan ini, sebenarnya telah mengundang kesan dan trauma yang berpanjangan kepada mangsa (jika mangsa masih hidup) dan juga terhadap keluarga mangsa terutamanya dalam menjalankan tugas perkembangannya sebagai seorang wanita.

Ingin penulis petik salah satu pendapat daripada Almarhum Syeikh Abu Hassan Ali an- Nadwiy, beliau telah menyatakan bahawa krisis iman dan akhlak yang berleluasa dikalangan umat Islam hari ini telah menyebabkan wujudkan jurang yang semakin jauh antara sikap dan tingkahlaku umat Islam berbanding ajaran Islam sebenar yang suci dan murni. Ingin penulis lahirkan rasa ketakutan melihat gelagat generasi muda hari ini yang berpasangan dan melampaui batas-batas pergaulan, berpeleseran bebas dan seks rambang semakin diterima sebagai norma masyarakat pada hari ini. Isu perbicaraan kes rogol dan bunuh Canny Ong, Norita Shamsudin mendedahkan pada kita bahawa sikap sebahagian masyarakat Malaysia yang telah menjadi semakin lali dan mula menganggap seks bebas tanpa nikah tidak lagi merupakan satu kesalahan besar di sisi agama dan moral.

Tiada istilah dan penjelasan yang mudah bagi mengulas faktor keganasan terhadap wanita. Justeru itu, para penyelidik dan cendikiawan mempersoalkan kesahihan fakta yang mendorong keganasan berlaku. Di sini, penulis menyenaraikan beberapa punca masalah yang didapati merupakan asbab kepada keganasan terhadap wanita.


Personaliti

Personaliti mempunyai perkaitan dengan kelemahan individu yang melakukan keganasan ini. Ini termasuklah sikap panas baran dan lemah kawalan diri. Apabila individu tersebut menerima tekanan dari permasalahan yang dialami, emosi mereka akan terganggu, seterusnya mereka akan melepaskan tekanan tersebut terhadap isteri mahupun teman wanita mereka




Kekecewaan

Kekecewaan berkemungkinan disebabkan oleh kegagalan mencapai matlamat dalam kerja, tugasan harian, dan perhubungan antara perorangan. Kekecewaan ini menyebabkan mereka mendera dan merogol isteri, teman wanita mahupun anak perempuan mereka untuk melepaskan rasa marah dan kecewa mereka.

Budaya

Lelaki bersifat cauvinis dan masculine berkuasa dan mengawal segala hal manakala wanita bersifat feminine submisif iaitu peserah. Penyalahgunaan imej budaya ini telah menjadi penggalak kepada berlakunya kes keganasan. Tambahan pula, kanak-kanak merupakan sumber yang mudah didekati dan tidak mengancam pemangsa. Mungkin inilah yang menjadi faktor meningkatnya kes rogol terhadap wanita. Pemangsa memilih wanita yang tidak mampu berbuat apa mereka bagi memuaskan nafsu mereka.




Sikap Masyarakat

Masyarakat kita yang kononnya bersikap ‘tidak mahu menjaga tepi kain orang’ merupakan salah satu faktor meningkatnya kes keganasan terhadap wanita. Walaupun mereka melihat dengan mata sendiri, wanita didera suami, wanita dirogol oleh orang yang tidak dikenali namun tiada sebarang tindakan diambil. Mereka sepatutnya membuat aduan atau laporan polis. Sekurang-kurangnya laporkan kepada Ketua Kampung atau Ahli Jawankuasa Keselamatan Kampung (JKKK). Kerjasama dari masyarakat amat diperlukan. Kita perlu menjadi masyarakat yang prihatin dan bertanggungjawab bukan hanya menjeling sebelah mata.




Pengaruh Media Cetak dan Elektronik.

Sejak akhir-akhir ini, masyarakat di negara kita gemar dan sudah menjadi kebiasaan menonton VCD lucah. Majalah-majalah dan VCD lucah laris dijual seperti pisang goreng panas. Aksi perlakuan seks atau fidofilia inilah yang merangsang nafsu syahwat terutamanya golongan lelaki.




(g) Faktor seterusnya ialah tiada alternatif atau outlet yang halal, di mana ianya lebih relevan kepada penjenayah seksual dan sedikit terkait juga mangsa adalah ketiadaan saluran (outlet) yang halal dan sah di sisi undang-undang bagi memuaskan nafsu seksual yang bergejolak, kecuali dalam kes-kes penjenayah yang benar-benar psikopatik dan kepuasan ini sedikit sebanyak menyumbang kepada berlakunya jenayah seks. Dorongan nafsu seks dan sifat ganas boleh dibahagi dua. Nafsu seks memanglah ia suatu naluri semula jadi dalam diri manusia. Cuma gejolaknya berbeza-beza di antara satu individu ke individu yang lain bergantung kepada sekadar mana naluri ini diurus-kendali. Gejolaknya dalam diri seseorang akan meningkat terutamanya jika dia dikelilingi pelbagai imej dan mesej yang merangsangkan nafsu tersebut. Ini bertambah buruk jika pengisian akal dan jiwanya tidak disaingi oleh imej dan mesej yang bersifat positif. Dalam hal ini bukanlah kita perlu mengakui secara jujur bahawa terdapat sesuatu lambakan imej-imej dan mesej yang merangsangkan nafsu seks dalam masyarakatkita. Di mana-mana di keliling kita, di kacaTV, VCD, akhbar harian, tabloid, majalah, novel, internet, iklan dan lain-lain secara terang dan tersembunyi imej dan mesej seksual bebas digunakan sebagai tarikan dan hiasan.


Antara faktor lain yang turut menyumbang ke arah berlakunya jenayah seks adanya ruang dan kesempatan bagi si penjenayah. Ruang dan kesempatan berkait dengan soal siapa si penjenayah tersebut, kedudukan dan kebebasannya bergerak di tengah masyarakat, rekod jenayahnya dan sama ada ia diketahui. Ia juga terkait dengan lokasi berlakunya jenayah. Tanpa lokasi yang sesuai penjenayah setegar mana pun akan sukar membuat angkara. Siapa si mangsa juga termasuk dalam faktor ini. Ini amat jelas dalam kes-kes yang melibatkan soft targets seperti wanita. Faktor mangsa juga penting dalam kes-kes jenayah seks yang melibatkan mangsa diperdayakan oleh kenalan sama ada lama ataupun baru.

Keganasan terhadap wanita jelas menunjukkan kepada kita bahawa para wanita tidak mampu melakukan tugas perkembangan mereka sesempurna yang mungkin. Kesan ini boleh menjadi asas kepada berlakunya kebejatan sosial yang lain yang melibatkan para remaja kerana mereka tidak mendapat perhatian dan kasih-sayang daripada ibu mereka yang mengalami masalah didera oleh bapa mereka dan kepincangan keluarga yang mereka sendiri tidak tahu bagaimana hendak menyelamatkannya.

Justeru, penulis berpandangan isu keganasan ini perlu diberi perhatian yang sewajarnya agar wanita sebagai pendidik generasi mendatang mampu melaksanakan tugas mereka sepenuhnya. Wanita yang dianggap sebagai peserah mempunyai sifat yang sabar, mudah mengalah dan masih memberikan ruang maaf sedangkan apa yang berlaku kepada dirinya hampir memusnahkan seluruh kehidupannya. Persoalannya, apakah yang bakal terjadi kepada wanita yang menjadi mangsa keganasan ini ? Bagaimana warna masa depannya? Bagaimana mereka hendak berhadapan dengan masyarakat sedangkan apa yang menimpa diri mereka tidak pernah dimimpikan malah datang tanpa kerelaan mereka?

Penulis menyakini dengan berakhirnya penulisan ini, ianya masih tidak mampu menyedarkan kepada masyarakat malahan memberhentikan keganasan ini satu yang mustahil. Kami berharap kesedaran yang kami perolehi dan kebimbangan yang timbul hasil daripada pembacaan tugasan ini dapat diterjemahkan melalui tindakan yang relevan demi survival ummah akan datang !

Isnin, 7 Januari 2008

DERMA DARAH BAIK UNTUK KESIHATAN

Derma Darah ~ Tubuh rasa segar

Januari 8, 2008

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
norlaila@hmetro.com.my
JIKA pernah terlintas dalam fikiran anda ingin menyertai kempen derma darah untuk mengetahui status kesihatan diri, padamkan niat anda.

Menderma darah perlu ikhlas dengan niat mahu membantu orang yang benar-benar memerlukan dan tidak boleh dijadikan serampang dua mata demi kepentingan diri.

Untuk menjadi penderma darah, perkara pertama ialah memastikan anda benar-benar sihat untuk mengelak timbul masalah pada diri sendiri mahupun penerima.

Jika memenuhi syarat layak menjadi penderma darah, tiada sebab untuk berlengah kerana darah anda akan dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk menyambung nyawa orang lain.

Kalau ada menyatakan menderma darah boleh menyebabkan seseorang menjadi gemuk, usah percaya kerana menurut Pegawai Perubatan Pusat Darah Negara (PDN), Dr Umi Kalsom Md Ariffin, sehingga kini tiada bukti saintifik dapat menyokong dakwaan itu.

Sebaliknya, menderma darah boleh menyihatkan badan kerana badan akan menghasilkan sel darah baru bagi mengganti darah yang diderma.

Sel darah merah mempunyai jangka hayat antara 115 hingga 120 hari dan dalam tempoh ini ia boleh digunakan untuk menyelamatkan banyak nyawa.

Usah takut kita akan mengalami masalah kekurangan darah selepas menderma kerana perkara ini tidak terjadi. Secara semula jadi, badan sentiasa menghasilkan sel darah baru bagi menggantikan sel darah yang mati (musnah) akibat tua (selepas 120 hari).

Apabila kita menderma darah, proses sama berlaku. Badan dirangsang untuk menghasilkan sel darah baru yang secara tidak langsung boleh meningkatkan tahap kesihatan seseorang penderma kerana sel darah baru mempunyai keupayaan lebih baik untuk membawa oksigen.

Penderma hanya dibenarkan menderma darah pada jarak masa tiga bulan sekali.

Ini sebabnya ramai penderma berasa lebih segar dan sihat selepas menderma darah. Malah, rata-rata penderma berasa tenang kerana tahu darah mereka dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk membantu dan menyelamatkan nyawa orang lain.

Selain itu, kecekapan badan penderma menggunakan zat besi akan bertambah kerana garam galian ini diperlukan untuk menghasilkan sel darah merah baru.

Proses ini boleh membantu badan mengawal kandungan zat besi dalam badan dan mengelak masalah pengumpulan zat besi berlebihan pada jantung.

“Bagaimanapun, masih ada yang takut untuk menderma, terutama wanita, apabila mendengar dakwaan sesetengah pihak bahawa menderma darah boleh menyebabkan berat badan bertambah. Sehingga kini tiada bukti dapat mengesahkan dakwaan itu, jadi tidak perlu takut untuk menderma jika cukup sihat.

“Ramai orang ingat jika ada penyakit mereka tidak boleh menderma darah, tetapi tanggapan ini kurang tepat kerana hanya dalam keadaan tertentu seseorang itu dilarang menjadi penderma,” katanya ketika kempen derma darah kedua anjuran UMW Toyota Motor Sdn Bhd.

Berapa banyak darah yang diambil? Dr Umi berkata, jumlah darah yang boleh diambil daripada seseorang penderma ialah tidak melebihi 10 peratus daripada jumlah isipadu darah jangkaan.

Contohnya jika seseorang individu itu mempunyai berat badan 70 kilogram, jumlah isi padu darahnya dianggarkan sebanyak lima liter. Jadi jumlah darah yang diambil antara 350 hingga 450 mililiter saja.

Ini sebabnya individu yang mempunyai berat badan kurang daripada 45 kilogram tidak dibenarkan menjadi penderma kerana jumlah darah dimilikinya hanya cukup untuk keperluan diri.

Proses derma darah adalah selamat. Sebelum menderma, penderma perlu mengisi borang soal selidik untuk mengetahui status kesihatan mereka, diikuti pengambilan tekanan darah (bagi memastikan tekanan darah adalah normal) dan ujian pengenalan jenis darah.

Contoh darah diambil untuk pengenalan jenis dan ujian darah, pegawai perubatan akan memberi kaunseling secara peribadi bagi memastikan anda penderma berisiko rendah. Selepas menderma darah, penderma diberi pil zat besi dan asid filik untuk merangsang badan menghasilkan sel darah baru.

“Jangan derma darah jika anda tidak memenuhi syarat menjadi penderma darah, contohnya jika kurang tidur, kerana ia boleh memberi kesan kepada diri. Jika anda demam atau mengambil ubat tertentu seperti antibiotik, jangan menderma darah kerana ia boleh memberi kesan negatif kepada penerima,” katanya.

Darah yang diderma dibahagi mengikut komponennya iaitu sel darah merah, plasma, platelet, plasma beku segar, cryoprecipitate, cryosupernatant, faktor VIII dan IX — yang semuanya ada kegunaan tersendiri. Sel darah merah digunakan untuk merawat pesakit talasemia, leukemia, orang yang kehilangan darah dan kekurangan darah (anemia).

Manakala plasma penting untuk merawat mangsa kebakaran dan kebanyakan kes kehilangan darah.

Plasma darah ini juga diproses untuk dijadikan ‘ubat’ bagi merawat penyakit haemofilia, iaitu masalah darah lambat beku.

Individu yang menghidap penyakit juga sebenarnya boleh menderma. Jika tidak pasti mengenai keadaan anda, berbincang dulu dengan doktor. Luangkan masa untuk mengunjungi kempen derma darah kerana di sana ada doktor yang boleh memberi nasihat dan mengenal pasti kedudukan anda.

Dilarang derma

> Menghidap penyakit kelamin, Aids, tekanan darah tinggi, sakit jantung, diabetes, talasemia, haemofilia dan hepatitis B atau C, sawan, asma dan batuk kering.
> Pernah mengadakan hubungan seks rambang dengan ramai pasangan.
> Pernah melanggani pekerja seks (pelacur).
> Pernah mengamalkan hubungan sejenis (homoseks).
> Pernah mengadakan hubungan seks dengan dua-dua jantina (biseksual).
> Pernah mengambil dadah secara suntikan.

Boleh derma

> Berumur 18 hingga 65 tahun.
> Berat badan melebihi 45 kilogram.
> Tahap hemoglobin (kandungan protein dan zat besi) sekurang-kurangnya 12.5 peratus.
> Tidak menghidap penyakit kronik.
> Tidak minum alkohol 24 jam sebelum menderma.
> Tidak mengambil ubat antibiotik, kecuali dengan kebenaran doktor.
> Tidur melebihi lima jam pada malam sebelum hari menderma.

Dilarang derma sementara waktu

> Demam (apabila sakit atau demam, darah kita mengandungi banyak sel darah putih — yang boleh memberi kesan kepada penerima).
> Berat badan kurang 45 kilogram.
> Makan antibiotik yang tidak membenarkan mereka menderma darah (perlu berehat sekurang-kurangnya seminggu selepas dos terakhir).
> Tidur kurang lima jam.
> Minum minuman beralkohol kurang dari 24 jam.
> Menjalani pembedahan dalam tempoh enam bulan.
> Mendapatkan rawatan gigi dalam tempoh 24 jam sebelum menderma.
> Mendapat suntikan vaksinasi tiga minggu sebelum hari menderma.
> Menindik telinga, menjalani akupuntur atau tatu dalam masa setahun.

Ahad, 6 Januari 2008

MEMORI 2004-2007

DETIK 21 MAC 2004

Setelah bertukarnya kerajaan pimpinan Barisan Alternatif kepada Barisan Nasional pada 21 Mac 2004, pada malam keputusan itu juga ada rakan pegawai tadbir yang sudah membayangkan aku akan dipecat. Aku dengar dan buat selamba aje walaupun ia bermain dalam mindaku. Isteri kesayanganku menangis kerana tumbangnya Kerajaan pimpinan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang sempat meletakkan asas pemerintahan berdasarkan Al Qur'an dan Sunnah, Ijmak dan Qias. Kami tetap redha dengan ketentuan itu. Aku terkejut dan tergamam dengan pengumuman kemenangan BN yang dibuat oleh Pegawai PRU Kawasan Kuala Terengganu, Encik Adzlan Dagang dalam keadaan tersenyum dan ceria. Beliau mengucapkan tahniah kepada calon-calon yag memenangi PRU ke 11 itu.

DITUKARKAN
April 2004, setelah kira-kira sebulan berada di bilik Penolong Pengarah Urusetia Penerangan Negeri Terengganu, aku ditukarkan ke Pejabat Tanah Kemaman. Aku tidak menyangka akan ditukarkan ke sana kerana gambaran dan ura-ura yang diberikan oleh rakan-rakan pegawai tadbir seolah-olah aku akan dipecat atau dibiliksejukkan. Setahun berada di Kemaman, pelbagai pengalaman menarik yang tersimpan di benak ini. Pada asalnya aku hanya menjaga unit pendaftaran dan hasil sahaja, kemudian diberikan unit penguatkuasaan yang sebelum ini dipegang oleh Encik Zulkifli.

TAHUN 2007 memuatkan hari-hari yang penuh cabaran, pengalaman dan cubaan buat diriku. Selepas ditukarkan daripada jawatan Penolong Pentadbir Tanah di Pejabat Tanah Kemaman ke jawatan Pegawai Tambah Sentara(Peti Sejuk) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri pada April 2005 , aku terpaksa membiasakan diri dengan suasana baru dalam sejarah perkhidmatan ku sebagai pegawai tadbir. Pegawai Tambah Sentara merupakan suatu jawatan yang ditakuti oleh pegawai tadbir negeri. Ia melambangkan pengasingan, kehinaan, pemulauan, penderaan emosi dan seumpamanya. Itulah yang berlaku kepadaku. Namun begitu, aku gagahkan diri melalui semua itu. Bayangkan keadaan ku daripada seorang 'ADO'(Penolong Pentadbir Tanah) kepada pegawai tambah sentara yang datang ke pejabat hanya sekadar 'punch in' dan 'punch out' sahaja. tanpa ada mesyuarat, tanpa komputer di bilik pejabat, tanpa fail-fail kerja sebagaimana biasa kehidupan seorang pegawai di pejabat. Kakitangan sekeliling tidak pedulikan aku. Ada yang takut untuk bertegur sapa denganku. Ada juga yang bertegur sapa tetapi pandang-pandang di sekeliling. Ada juga yang melahirkan simpatinya terhadap nasibku. Aku sendiri? Walaupun hatiku tidak meredhai tindakan mereka Sang Penzalim, tetapi aku tetap redha terhadap segala apa yang menimpaku.
Aku masih ingat ada kawan yang memberitahuku bahawa aku ditukarkan angkara Penolong Pentadbir Tanah 2. Aku tahu beliau difitnah di hadapan rakan-rakan pegawai tadbir yang lain. Sedangkan ramai di kalangan kakitangan pejabat sudah maklum perangai pegawai yang suka membuat fitnah tersebut. Aku serahkan saja kepada Allah semua itu. Sudah tentu ada hikmahnya.
Sepanjang aku berada di Pejabat Tanah Kemaman, aku mula rapat dengan dunia ilmu. Aku hadiri kuliah, aku beli buku-buku agama, aku ikuti kuliah agama yang dianjurkan Kelab Agama JKR yang aku kira memberi nafas baru kepadaku untuk mendalami ilmu agama yang ketika itu Ustaz Hashim lah guruku. TERIMA KASIH USTAZ. Walaupun usianya kira-kira 70 hingga 80 tahun, dia masih mampu mencurahkan ilmunya kepada kakitangan JKR tanpa rasa jemu. Bahkan beliau cukup pemurah untuk ajarkan apa sahaja ilmu agama yang bermanfaat kepada kami. Sikapnya yang peramah dan pemurah Ilmu cukup aku senangi. Beliau sentiasa bertanyakan khabarku walaupun di saat aku tidak hadir ke kuliah tersebut disebabkan tugas. Bila lagi agaknya aku dapat bersua muka dengannya. Mudah-mudahan Allah panjangkan umurnya dan ketemukan aku dengannya. Amin........

Bersambung........


Rabu, 2 Januari 2008

SELAMAT TINGGAL 2007

TAHUN 2007 sudah tiga hari berlalu. Hari ini sudah masuk 3 Januari 2008 bersamaan 24 Zulhijah 1428. Tak lama lagi kita akan menyambut Awal Muharram. Negara baru sahaja menyambut tahu baru masihi. Banyak acara-acara sebagaimana tahun-tahun lepas dianjurkan. Bagi negeri asalku Terengganu, rakyat berpeluang melalui suatu pengalaman yang akan dicatat dalam buku sejarah Terengganu sebagai slah satu peristiwa besar iaitu Pengisytiharan Kuala Terengganu sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air. Ada yang buat jenaka dengan memberi nama singkatannya sebagai BAWASIR. Ramai juga rakyat Terengganu berlabuh kenderaan di sepanjang jalan sebelah Bukit Besar untuk melihat tembakan bunga api sempena pengisytiharan tersebut. Dilaporkan dalam akhbar bahawa belanja program keseluruhannya memakan RM10 JUTA. Rakyat umumnya seronok menonton bunga api pelbagai warna ditembak ke udara. Aku pula ditakdirkan kebetulan mahu ke SABASUN HYPERUNCIT untuk beli beberapa perkara. Maklumlah sekolah dah nak buka. Ku lihat orang-orang yang stia berdiri berhampiran SABASUN, tersenyum puas melihat bunga api demi bunga api ditembak ke udara. Seolah-olah mereka sedang melihat majlis persandingan pasangan kahwin anak beranak mereka. Barangkali tidak terlintas di hati mereka bahawa belanja yang digunakan untuk majlis seprti itu diambil dari kutipan cukai-cukai yang pelbagai dari poket rakyat.

Ku teringat ada sahabatku yang sengaja keluar ronda-ronda malam tahun baru 31 Disember 2007 yang lalu. Dengan berbekalkan kamera digitalnya, beliau ambil beberapa keping gambar yang dikiranya menarik. Apabila dimasukkan dalam blognya, rupa-rupanya gambar yang dikatakan menarik ialah sekumpulan remaja ber'subculture'kan punk.

Tak sangka pulak ada budak punk di Terengganu tercinta ni. Aku memang jarang merayau waktu malam. Kalau keluar pun atas dasar mesyuarat ataupun majlis-majlis ilmu. Kata kawanku,bukan setakat punk aje yang ada di KT ni. Bahkan Grundge, Skinhead dan lain-lain. Tengoklah aksi mereka menunjukkan isyarat lucah ala barat. Ngeri juga aku tengok nasib anak bangsa beragama Islam jadi sebegitu rupa.


Bukan itu sahaja, malam tahun baru juga dihiasi dengan Parti Disko yang dihoskan oleh DJ yang didatangkan khas dari Hard Rock Cafe KL. Aku dapat gambar ni pun dari blog yang sama. Ada rakan yang berani masuk untuk lihat apa yang berlaku. Tak sangka pula terserempak dengan polis yang buat kerja part time dalam majlis tu.Barangkali diorang tengah undercover kot. Tapi 'point' pentingnya, parti liar tersebut memang benar-benar berlaku. Itu lah antara pengorbanan yang perlu dibayar untuk sebuah pembangunan bandaraya barangkali.